Input your search keywords and press Enter.

Pendidikan : Kerajaan Perkukuh Hubungan Dengan China

M Update, 18/12/2019 – Kerajaan berhasrat untuk memperkukuhkan lagi hubungan diplomatik dengan kerajaan China menerusi bidang pendidikan pada masa depan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching berkata pelbagai inisiatif telah dirancang untuk menjayakan hasrat itu hasil lawatan kerjanya ke negara berkenaan pada September lepas.

“Saya ke Beijing dan bertemu dengan Timbalan Menteri Pendidikan China, Zheng Fuzhi. Kami membincangkan mengenai kerjasama (yang boleh dijalin) antara kedua-dua kementerian selain menandatangani memorandum persefahaman dengan Confucius Institute Headquarters (Hanban) berkaitan biasiswa.

“Kami berharap segala perbincangan semasa lawatan kerja itu akan mendapat sokongan daripada kerajaan China,” katanya semasa berucap pada majlis makan malam China Cultural Day 2019 di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, malam ini.

Majlis makan malam itu diadakan bagi meraikan ulang tahun ke-45 hubungan diplomatik antara China dan Malaysia.\

Tambah Teo, sejak tahun 2015, Malaysia menjadi tarikan kepada pelajar dari China untuk melanjutkan pengajian dan sehingga Oktober lepas, seramai 16,503 pelajar negara tersebut menuntut dalam pelbagai bidang di sini.

Justeru kata Teo, bagi mencapai hasrat tersebut, institusi pendidikan di Malaysia perlu meneliti semula kos pengajian yang ditawarkan bagi menarik lebih ramai pelajar dari China untuk menuntut ilmu di negara ini.

Katanya lagi, lawatan kerjanya ke negara itu diharap dapat menjadi nilai tambah kepada keyakinan Malaysia untuk menjadi antara destinasi pilihan berkaitan pendidikan seterusnya menjadi hab pendidikan di rantau Asia pada masa depan.

Sumber : Bernama

Leave a Reply