Input your search keywords and press Enter.

MyeongDong Topokki Kini Miliki Sijil Halal JAKIM

M update, 23/12/2019 – Peminat hidangan menu berasaskan, Korea Street Food di Restoran MyeongDong Topokki Malaysia tidak perlu bimbang lagi mengenai status halalnya kerana ia kini sudah mendapat pengiktirafan sijil halal sepenuhnya daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Ketua Pegawai Eksekutif, MyeongDong Topokki, Vincent Lua, berkata memiliki pengiktirafan halal menjadi antara tumpuan utama syarikatnya memandangkan pasaran halal kini semakin meluas di seluruh dunia.

Katanya, selain itu ia adalah untuk memastikan peminat hidangan ini daripada pelbagai bangsa dan agama tidak ragu-ragu untuk menikmati menu yang dihidangkan di restoran ini biarpun menggunakan nama asal daripada Korea.

“Sebelum ini, kami sering mendapat pertanyaan daripada pelanggan mengenai status halal yang diiktiraf oleh JAKIM, namun kami mengambil pendekatan dengan menerangkan kepada mereka bahawa setiap menu dihidangkan adalah mesra Muslim.

“Sejak restoran ini diperkenalkan pada 2014, kita berusaha untuk mendapatkan sijil halal JAKIM, namun disebabkan tidak mengetahui prosedur yang betul, ia mengambil sedikit masa untuk mengesahkannya.

“Selain daripada itu, kami juga mengimport hampir 40 peratus produk dari Korea, jadi kami turut berhubung dengan Persekutuan Muslim Korea (KMF) untuk memastikan pembekal di sana disahkan memiliki sijil halal yang turut diiktiraf oleh JAKIM di sini,” katanya ketika ditemui cawangan restoran MyeongDong Topokki, dekat sini.

Restoran MyeongDong Topokki yang menyediakan sebanyak 44 jenis hidangan berasaskan, Korea Street Food dengan cita rasa tempatan mendapat pengiktirafan sijil halal daripada JAKIM pada 6 Disember lalu dan pada masa yang sama turut dianugerahkan Restoran Segera Kasual Korean Street Food oleh Anugerah Jenama Halal Asia (AHBA), baru-baru ini.

Vincent berkata, dengan dua pengiktirafan diterima MyeongDong Topokki, beliau akan terus mengekalkan status halal ini sehingga meluaskan pasaran ke luar negara dan berdiri teguh dengan integriti untuk memastikan ia sentiasa mematuhi syariah.

“Pelbagai syarikat ingin menjalinkan usahasama dengan syarikat kami, tetapi kami bimbang jika status halalnya tidak diutamakan dan ia akan memberi kesan buruk kepada jenama kami yang sedang berkembang serta nama Malaysia yang kami bawa.

“Selain itu kami turut terkejut kerana mendapat anugerah daripada AHBA dan akan memastikan ia terus menepati kehendak setiap pelanggan kami,” katanya.

Sementara itu, Eksekutif Pematuhan Halal MyeongDong Topokki, Abdullah Musa, berkata selama enam bulan beliau berusaha untuk mendapatkan sijil halal daripada JAKIM dengan pelbagai cabaran perlu dihadapi. Katanya, isu utama ialah bahan asli yang diperoleh daripada Korea memandangkan pendekatan halal tidak begitu luas digunakan di negara berkenaan.

“Kita berusaha mencari pembekal yang benar-benar diiktiraf halal oleh KMF dan disahkan oleh JAKIM saja kerana biarpun banyak badan halal di Korea, tetapi hanya KMF yang disahkan oleh JAKIM.

“Peraturan JAKIM sangat tegas dan kita perlu beberapa kali ke JAKIM bagi menunjukkan setiap bahan dan perkara berkaitan untuk memastikan memenuhi syarat dan piawaian mereka. Malah JAKIM turut datang ke setiap cawangan restoran untuk melihat sendiri cara kerja dan sebagainya. Malah peralatan yang kami gunakan juga adalah halal dan sebanyak 80 peratus pekerja restoran adalah orang Islam,” katanya.

Bagi Pengurus Sumber Manusia MyeongDong Topokki, Nor Azrita Zubir, berkata sebaik memperoleh sijil halal daripada JAKIM, tahap keyakinan untuk memperkenalkan lebih luas produk hidangan berasaskan Korea Street Food ini sangat tinggi.

“Jika sebelum ini kru di barisan hadapan restoran sentiasa perlu menjawab persoalan mengenai halal daripada pelanggan, jadi dengan adanya sijil daripada JAKIM, diharap lebih ramai pelanggan khususnya orang Islam yakin untuk menikmati hidangan ini,” katanya.

Sumber ; HB Online

Leave a Reply