Input your search keywords and press Enter.

JAKIM : Gerhana Matahari Bukan Petanda Malang

M Update, 26/12/2019 – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memberi peringatan kepada umat Islam, kejadian gerhana matahari tiada kaitan dengan kejadian malang atau celaka sesuatu perkara.

Sebaliknya, ia adalah satu keadaan yang berlaku sejak dahulu lagi, termasuk ketika zaman Rasulullah SAW. Jelas JAKIM, ketika itu, secara kebetulan, putera baginda iaitu Ibrahim wafat dan ramai yang menyangka bahawa gerhana itu membawa maksud kesedihan hati Rasulullah.

“Oleh kerana itu, Rasulullah SAW bersabda (hadis riwayat Imam Muslim), Mafhumnya: Rasulullah SAW bersabda bahawasanya matahari dan bulan itu menjadi tanda kedua-duanya daripada tanda-tanda kekuasaan Allah.

“Allah menakutkan hamba-hambaNya dengan perubahan matahari dan bulan, dan matahari dan bulan itu tidak berlaku gerhana kedua-duanya disebabkan mati seseorang dari kalangan manusia, maka apabila kamu melihat berlakunya suasana (gerhana), maka solatlah kamu (solat sunat gerhana) dan berdoalah kepada Allah sehingga cahaya matahari atau bulan kelihatan semula bagi kamu,” katanya.

Peringatan itu dikeluarkan melalui khutbah khas gerhana matahari bertajuk Menggali Rahsia Keagungan Allah, selepas zolat Zohor, hari ini. Jelasnya, kejadian gerhana matahari berlaku akibat dari kedudukan sejajar antara matahari, bulan dan bumi, manakala gerhana bulan berlaku apabila kedudukan sejajar antara matahari, bumi dan bulan.

“Kedudukan sebegini akan menghalang cahaya matahari daripada sampai ke bumi dan kerana itu, ia dinamakan gerhana. Kita sedia maklum bulan dan bumi sifatnya adalah menerima cahaya daripada matahari. “Peristiwa gerhana matahari ini adalah suatu iktibar kepada umat manusia bahawa kita adalah makhluk kecil dan lemah di sisi Allah SWT.

“Allah memperlihatkan sedikit daripada bukti kekuasanNya kepada manusia melalui peristiwa gerhana matahari yang juga antara satu fenomena alam yang hebat dan ajaib, bukti kekuasaan Allah yang tiada bandingnya,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya Firman Allah dalam surah Yunus ayat 5, membawa maksud, “Dialah yang menjadikan matahari bersinar-sinar (terang-benderang) dan bulan bercahaya, dan Dialah yang menentukan perjalanan tiap-tiap satu itu (berpindah-pindah) pada tempat-tempat peredarannya (masing-masing) supaya kamu dapat mengetahui bilangan tahun dan kiraan masa.

Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar; Allah menjelaskan ayat- ayatNya (tanda-tanda kebesaranNya) satu persatu bagi kaum yang mahu mengetahui hikmah sesuatu yang dijadikanNya).

Apa yang jelas, penciptaan matahari, bulan, cakerawala dan apa jua di alam ini bertujuan membolehkan seluruh manusia mengambil manfaat daripadanya seperti menjana sistem solar, menjana dan menghasilkan kuasa elektrik. Bagi umat Islam, peristiwa seumpama ini sebenarnya memperteguhkan dan memantapkan lagi keimanan sekiranya dihayati.

“Janganlah sekali-kali kita lupa untuk bertahmid memuji Allah, bertasbih, bertakbir dan bertahlil sebagai tanda kesyukuran atas pengurniaan segala nikmat serta limpahan rahmatNya,” katanya.

Sumber : BH Online

Leave a Reply