Input your search keywords and press Enter.

𝐒𝐄𝐉𝐀𝐑𝐀𝐇 𝐌𝐀𝐋𝐀𝐘𝐒𝐈𝐀 𝐘𝐀𝐍𝐆 𝐇𝐀𝐌𝐏𝐈𝐑 𝐃𝐈𝐋𝐔𝐏𝐀𝐊𝐀𝐍

Semasa bertugas di Pangkalan Tentera Udara Butterworth, banyak peristiwa pahit manis dilalui sebagai pegawai perubatan kanan yang bertanggungjawab ke atas kesihatan dan perubatan seluruh pegawai dan anggota di sana.

Salah satunya ialah penglibatan saya dalam istiadat pengkebumian semula Kapt (U) Choo Yeok Boo PGB yang terkorban dalam nahas pesawat Sikorsky Nuri akibat ditembak oleh pengganas komunis pada 26 April 1976. Setelah 4 dekad bersemadi di dalam kawasan Kem Lapangan Terbang Sungai Petani, atas permintaan isteri dan anak-anak mendiang, dia dipindahkan ke tempat yang lebih bersesuaian.

Hari yang bersejarah itu tidak mungkin akan dilupakan sehingga bila-bila. Kesedihan menyelubungi kami yang berpakaian seragam lengkap bagi menghormati pengorbanan mendiang yang hilang nyawanya demi negara. Upacara penuh istiadat ketenteraan sekali lagi diberikan ke atas jasad mendiang.

Dalam kejadian yang sungguh mengerikan itu, kesemua 11 pegawai dan anggota tentera telah terbunuh dalam Operasi Kota di sekitar Gubir. Serangan komunis terhadap pesawat yang membawa bekalan untuk anggota-anggota tentera di sempadan negara pada pagi yang penuh berdarah itu tidak mungkin hilang dari lipatan ingatan setiap satu ahli keluarga mereka.

Generasi sekarang mana tahu ini semua! Ini bukan momokan cerita sebelum tidur yang tidak ada benarnya. Ramai tidak tahu sejarah! Atau sengaja tidak mahu tahu. Dan tidak ambil kisah dan pusing.

Sejarah tidak pernah menipu! Pendudukan komunis di Tanah Melayu sehinggalah perjanjian damai di antara Parti Komunis Malaya dan Kerajaan Malaysia pada Disember 1989 itu benar-benar berlaku! Bukan omongan kosong. Negara kita pernah dalam keadaan darurat selama 12 tahun juga bukan dongeng!

Kekejaman dan kebangsatan Parti Komunis Malaya terhadap rakyat Tanah Melayu bukan sengaja direkacipta! Filem Bukit Kepong itu hanyalah sebahagian dari apa yang berlaku di serata tanah air kita. Merdeka dari penjajah Inggeris dengan persefahaman tetapi bermandi darah dengan bangkitnya komunis.

Terlalu ramai anggota keselamatan yang telah gugur di perbatasan demi memperjuangkan bangsa, agama dan negara dari kerakusan dan kebinatangan komunis. Itu belum dikira mereka yang cedera dan cacat seumur hayat.

Abah saya sendiri pernah ditugaskan di hutan untuk operasi menentang komunis. Sekarang abah sudah pun 65 tahun, tapi apa yang abah lalui tidak mungkin hilang dari kenangan pahit yang dia terpaksa lalui demi tugas pada negara.

Hari ini ada manusia-manusia yang ingin mengembalikan zaman komunis bermaharajalela. Chin Peng telah lama dihalau keluar dari bumi Malaysia, malah selepas kematiannya pun, mayatnya tidak dibenarkan dibawa pulang ke tanahair kita ini, namun fahaman komunisnya sudah seakan-akan mahu dihidupkan semula oleh manusia-manusia yang mula menampakkan diri di tengah-tengah kealpaan generasi kini.

𝑵𝑼𝑹𝑲𝑰𝑳𝑨𝑵 𝑺𝑬𝑶𝑹𝑨𝑵𝑮 𝒀𝑨𝑵𝑮 𝑩𝑬𝑹𝑱𝑰𝑾𝑨 𝑷𝑨𝑻𝑹𝑰𝑶𝑻𝑰𝑲

Leave a Reply