Input your search keywords and press Enter.

KPDNHEP : Tiada Aduan Kenaikan Harga Barangan Sekolah Dikesan

M Update, 27/12/2019 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak mengesan kenaikan harga barangan sekolah sepanjang pemeriksaan di seluruh negara sejak 18 Disember lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDNHEP Azman Adam berkata, bagaimanapun sebanyak 179 notis dikeluarkan terhadap peniaga sehingga 24 Disember lalu. Menurutnya, sebanyak 212 premis menjual barangan sekolah diperiksa sempena musim kembali ke sekolah melibatkan 2,718 barangan sejak 18 Disember lalu.

“Pemeriksaan dan pemantauan berkala akan diadakan sehingga 3 Januari ini bagi memastikan tiada peniaga yang mengambil kesempatan,” katanya selepas menjalankan pemeriksaan harga barangan sekolah di sebuah hypermarket di Bandar Teknologi Kajang di sini hari ini.

Azman berkata, kementerian melaksanakan pemeriksaan itu bagi menyekat dan mengelakkan berlaku kenaikan harga barangan berterusan dan aktiviti pengambilan keuntungan yang tidak munasabah. Menurutnya, pelaksanaan pemeriksaan dilaksanakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

“Pemeriksaan melibatkan 10 barangan sekolah termasuk baju kurung sekolah, baju kemeja lengan panjang dan pendek, kain baju kurung (sekolah rendah dan menengah), seluar panjang (sekolah rendah dan menengah), tudung sekolah, kasut sekolah dan stoking,” katanya.

Katanya, peniaga perlu mematuhi arahan ditetapkan dan mengamalkan sikap beretika manakala pengguna perlu mengetahui tanggungjawab dan hak mereka.

“Jika mereka dapati peniaga tidak patuhi undang-undang, aduan boleh disalurkan kepada kementerian melalui portal e-aduan kpdnhep.gov.my atau menghubungi talian 1800886800 atau hadir ke mana-mana 73 pejabat KPDNHEP di seluruh negara.

Pengguna juga boleh membuat aduan menerusi aplikasi telefon pintar Ez ADU atau WhatsApp ke talian 0192794317,” katanya. – SH Online

Leave a Reply