Input your search keywords and press Enter.

KPM : Tiada Halangan Sambutan Ponggal Di Sekolah

M Update, 15/1/2020 – Surat dikeluarkan Kementerian Pendidikan berhubung perayaan Ponggal di sekolah bertujuan mengurangkan kebimbangan ibu bapa murid beragama Islam dengan pembabitan anak mereka, bukan menghalang perayaan itu diadakan di sekolah.

Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian berkenaan memaklumkan, ia menyedari bahawa sekolah adalah tempat memupuk perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Kata kenyataan itu, budaya dan adat resam antara kaum perlu diketahui, difahami dan dihormati semua pihak termasuk pentadbir sekolah, guru-guru dan murid-murid.

“Sebagai usaha menyemai semangat toleransi, persefahaman dan saling menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum, kementerian menggalakkan penyertaan warga sekolah dalam semua aktiviti silang budaya yang dijalankan.

“Merujuk kepada surat KPM bernombor rujukan KPM. 100-1/3/2 (64) bertarikh 13 Januari 2020, surat ini dikeluarkan bagi mengurangkan kebimbangan ibu bapa murid beragama Islam dalam pembabitan anak-anak mereka semasa sambutan perayaan itu. Kenyataan surat ini mengambil kira pendirian dan garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” kata kementerian berkenaan.

Surat itu juga mengandungi peringatan kementerian berkenaan kepada pihak sekolah agar mematuhi peraturan-peraturan yang sedang berkuat kuasa jika berhasrat untuk mengadakan sambutan perayaan tertentu di sekolah.

Terdahulu, Menteri Penerangan Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo menerusi kenyataan dimuat naik dalam Facebook beliau, berkata isu surat pekeliling dikeluarkan Kementerian Pendidikan mengenai Ponggal akan dibangkitkan dalam mesyuarat jemaah Menteri hari ini.

Katanya, Ponggal bukanlah acara keagamaan dan perayaan itu menandakan sambutan musim menuai selain kejayaan atau pun kemakmuran yang melimpah. – BH Online

Leave a Reply