Input your search keywords and press Enter.

Penunggang Motosikal Terlelap Maut Rempuh Lori

M Update, 15/1/2020 – Seorang pekerja syarikat pembuatan kereta maut apabila motosikal ditunggangnya merempuh belakang lori di Kilometer 15.2, Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) arah Kundang ke Puncak Alam hari ini.

Kejadian jam 7.15 pagi mengakibatkan mangsa, Mohamad Firdaus Hasim, 28, meninggal dunia di lokasi kejadian. Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, kemalangan melibatkan dua motosikal Yamaha Y15ZR dan lori Volvo.

“Yamaha Y15ZR ditunggang Mohamad Firdaus melanggar belakang lori yang sedang bergerak mendaki bukit di lorong kiri dan mangsa dipercayai terlelap. Kemudian, seorang lagi penunggang Yamaha Y15ZR dari arah sama cuba mengelak kemalangan itu namun terjatuh selepas gagal mengawal kenderaan,” katanya.

Katanya, penunggang motosikal terbabit, Khuzaifah Mustar, 33, cedera ringan manakala pemandu lori berusia 50 tahun tidak mengalami kecederaan.

“Mangsa yang meninggal dunia berasal dari Kampung Sungai Buaya, Rawang dipercayai baru selesai kerja syif malam di Sungai Choh dan dalam perjalanan balik ke Bandar Tasik Puteri,” katanya.

Beliau memberitahu, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat manakala penunggang motosikal yang cedera turut dibawa ke hospital sama untuk mendapatkan rawatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – SH Online

Leave a Reply