Input your search keywords and press Enter.

Pemansuhan Bukan Bermaksud Hukuman Mati Dimansuhkan Sepenuhnya

M Update, 16/1/2020 – Pemansuhan hukuman mati mandatori tidak bermaksud bahawa hukuman mati dimansuhkan sepenuhnya.

Sebaliknya kata Jawatankuasa Khas Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori, hukuman itu masih wujud dan boleh dijatuhkan.

“Sekiranya mahkamah berpandangan bahawa hukuman tersebut wajar berdasarkan kepada fakta dalam sesebuah kes, ia boleh dijatuhkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, jawatankuasa yang ditubuhkan kerajaan pada Ogos tahun lalu komited untuk memastikan hasil kajian dibuat berdasarkan sesi libat urus yang holistik dan efektif.

“Pandangan daripada semua pihak diambil kira oleh Jawatankuasa khas ini termasuk kumpulan kementerian, jabatan dan agensi, badan bukan kerajaan agamawan Islam dan bukan Islam, keluarga banduan akhir, banduan akhir, keluarga mangsa serta masyarakat umum,” katanya.

Tambahnya, setiap pandangan dan input daripada semua pihak adalah penting untuk memastikan rekomendasi dan syor yang akan dibentangkan kepada kerajaan adalah komprehensif demi memantapkan polisi penghukuman di negara ini.

“Sesi libat urus Jawatankuasa Khas bersama keluarga mangsa telah diadakan semalam dan input diterima akan dianalisa,” katanya.

Semalam Jawatankuasa khas Bagi Pemansuhan Hukuman Mati yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum menggesa kerajaan mempertimbangkan semula langkah pemansuhan perkataan mandatori dalam hukuman mati. – SH Online

Leave a Reply