Input your search keywords and press Enter.

Dr Mahathir Masuk Pejabat Menteri Pendidikan

M Update, 17/1/2020 – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang memangku jawatan Menteri Pendidikan memasuki pejabat kementerian itu buat kali pertama semalam.

Ketibaan Dr Mahathir kira-kira jam 2.40 petang di kementerian itu disambut Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Mohd Gazali Abas serta pengurusan tertinggi kementerian. Selepas bersalaman dan bergambar di lobi kementerian, Dr Mahathir kemudian diiring ke tingkat 18 bangunan yang menempatkan pejabat Menteri Pendidikan.

Di situ, Dr Mahathir diberikan penerangan ringkas oleh Mohd Gazali yang turut disertai oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching. Selepas itu, Dr Mahathir dibawa ke tingkat 17 bagi menghadiri taklimat bersama pihak pengurusan tertinggi kementerian.

Jemaah Menteri dalam mesyuarat pada 8 Januari lalu memutuskan Dr Mahathir memangku sementara jawatan Menteri Pendidikan berkuat kuasa 3 Januari susulan peletakan jawatan Dr Maszlee Malik sehari sebelum itu.

Isnin lalu, Dr Mahathir dilaporkan berkata beliau akan memasuki pejabat Kementerian Pendidikan dalam masa terdekat di mana antara keutamaan adalah untuk meneliti masalah yang berlaku dalam kementerian itu sebelum membuat sebarang keputusan. Perdana Menteri juga dilaporkan sedia untuk mempertimbangkan cadangan memecahkan Kementerian Pendidikan dan mewujudkan semula Kementerian Pendidikan Tinggi.

Dr Mahathir pernah menyandang jawatan Menteri Pendidikan pada 1974 sehingga 1978 sewaktu pentadbiran Tun Abdul Razak Hussein dan Tun Hussein Onn selaku Perdana Menteri. – BERNAMA

Leave a Reply