Input your search keywords and press Enter.

Istimewanya Anak Ini…

M Update, 17/1/2020 – Dilahirkan dengan autisme ringan membuatkan Muhammad Ammar Qayyim yang berusia 11 tahun masih berperangai keanak-anakan seperti kanak-kanak tadika.

Tidak seperti rakan sebayanya, kanak-kanak yang mesra dipanggil Ammar Qayyim itu masih memakai lampin pakai buang untuk membuang air besar dan menyusu botol ketika tidur malam.

Malah, apabila berborak dengannya dapat dikesan pemikiran dan tutur katanya juga tidak seperti rakan sebaya sebaliknya berperwatakan kanak-kanak berusia lima atau enam tahun. Namun, apa yang membanggakan anak bongsu daripada dua beradik ini memiliki kelebihan istimewa apabila mampu menghafaz 30 juzuk al-Quran seawal usia lapan tahun.

Menurut ibunya, Saadiah Saad, 50, meskipun berusia 11 tahun anaknya masih tidak mampu menguruskan diri sendiri termasuk masih berbotol susu.

“Kalau perasan tingkah lakunya tidak sama macam umurnya. Sepatutnya umur 11 tahun rancak bercerita dan bercakap, tetapi dia macam kanak-kanak sekolah tadika. Dia masih tidak boleh uruskan diri, segalanya masih perlukan bantuan, contohnya kita masih kena arahkan ambil buku, ambil beg itu ini.

“Sampai sekarang pun, balik sekolah dan waktu malam hendak tidur dia mahu menyusu botol,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Katanya, dia dan suaminya, Nazeri Arshad, 47, menghantar anak mereka bertemu pakar sebelum disahkan perkembangan kanak-kanak itu lewat empat tahun dari usia sebenar.

“Dari segi fizikalnya dia nampak normal, tetapi pada umurnya 11 tahun dia berperangai macam kanak-kanak empat tahun ke belakang termasuk komunikasinya kurang, kosa kata tidak banyak selain tidak boleh proses atau memahami apa orang tanya.

“Pada peringkat permulaan doktor tidak boleh diagnosis masalahnya melainkan menganggap masalah dialaminya sebagai perkembangan lewat, tetapi makin meningkat umurnya barulah doktor sahkan dia ada autisme ringan. Secara peribadi, pada mulanya sukar untuk saya terima, ibu bapa mana yang tidak terasa apatah lagi ini kali pertama terjadi dalam keluarga kami, tetapi hidup perlu diteruskan.

Kami positif mungkin Allah sudah pilih ada anak syurga macam ini. Saya selalu berdoa bila al-Quran sentiasa berdamping dengannya, semoga Allah sentiasa menjaga dirinya,” katanya.

Sementara itu, Nazeri berkata, kelebihan Ammar Qayyim menghafaz mula dikesan selepas pakar sebuah pusat rehabilitasi mengesan kecenderungan dan mengesyorkan belajar di Akademi Darul Huffaz (ADH) International Tahfiz & Science Academy Malaysia.

Seminggu dia belajar di ADH, ramai ustaz kagum dengannya kerana boleh menghafaz al-Quran pada usia baru mencecah tujuh tahun ketika itu.

“Mereka menguji hafazannya, Ammar Qayyim mampu sambung ayat seterusnya dan boleh meneka surah apa dan ayat ke berapa dengan tepat,” katanya.

Katanya, ibu bapa yang memiliki anak istimewa jangan cepat putus asa sebaliknya kenali dan sokonglah kecenderungan anak hingga berjaya. Memang ada perancangan untuknya melanjutkan pelajaran dalam bidang tafsir dan ilmu hadis di Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) yang ada menawarkan bidang pengajian untuk pelajar tahfiz tahap syahadah.

Ada pelbagai cadangan daripada ustaznya termasuk hantar ke Bangladesh, Pakistan, Indonesia dan Arab Saudi, tetapi sebagai ibu bapa kami belum sampai sejauh itu kerana tahu kemampuan anak kami lebih-lebih lagi belum pandai berdikari,” katanya. – HM Online

Leave a Reply