Input your search keywords and press Enter.

Padah Hina Anggota Trafik

M Update, 20/1/2020 – Akibat berkongsi video tular di media sosial dan menulis status hantaran mempertikaikan tugas anggota polis trafik, seorang operator kilang ditahan semalam untuk membantu siasatan.

Lelaki itu berkongsi video tular memaparkan penunggang motosikal yang disaman tidak memakai topi keledar dengan status hantaran, “Kacau oo jalan kampung pun nak saman, cari duit sungguh.”

Difahamkan, video tular itu dirakam dalam operasi sekatan polis di jalan Air Hitam-Sanglang dekat Ayer Hitam pada 1 Jun lalu, namun ia ditularkan semula minggu lalu. Berikutan itu, anggota polis trafik yang dirakam dalam video tular berkenaan membuat laporan pada 13 Januari lalu untuk tindakan lanjut.

Lelaki berusia 35 tahun itu kemudian menyerah diri di Balai Polis Jitra, 11.10 pagi semalam. Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, suspek direman selama dua hari bermula hari ini, untuk siasatan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia Malaysia 1998.

“Kami menasihatkan orang ramai tidak sesuka menular laporan yang tidak sahih kerana ia boleh diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

Polis turut dalam usaha mengesan beberapa individu lain yang dipercayai turut memuat naik status hantaran (video tular yang sama) kerana mempertikaikan tugas anggota polis trafik berkenaan,” katanya. – HM Online

Leave a Reply