Input your search keywords and press Enter.

Macau Scam : Wang KWSP, ASB Lesap Ditipu

M Update, 21/1/2020 – Seorang juruteknik kilang kerugian sebanyak RM155,401 apabila wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya lesap dipercayai angkara Macau Scam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, wanita berusia 56 tahun itu dihubungi seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai wakil polis Bukit Mertajam ketika berada di tempat kerjanya di Kawasan Perindustrian Bayan Lepas Fasa 4, di sini pada jam 10 pagi, 14 Januari lalu.

Menurutnya, mangsa panik selepas dimaklumkan kononnya dia telah melanggar seorang lelaki sehingga meninggal dunia.

“Suspek turut meminta nombor kad pengenalan mangsa kononnya untuk membuat semakan selain mangsa juga memberi alamat rumahnya. Panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada seorang lelaki. Lelaki tersebut meminta semua maklumat akaun bank termasuk jumlah wang dalam akaun mangsa.

“Mangsa diberitahu akaun bank miliknya akan dibekukan dan suspek meminta mangsa membuka akaun lain dengan mendaftarkan nombor telefon yang diberikan. Suspek juga meminta mangsa menggunakan nombor kad pengenalannya sebagai nombor pin akaun,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Anbalagan berkata, suspek kemudiannya meminta mangsa memindahkan semua wang KWSP dan ASB ke dalam akaun baharu tersebut.

“Mangsa yang dalam ketakutan terus memindahkan semua wangnya ke dalam akaun yang baru dibuka. Mangsa memberi nombor kad ATM kepada suspek. Bagaimanapun pagi semalam, mangsa ke bank tersebut untuk membuat semakan namun terkejut apabila mendapati baki akaun hanya RM115.20.

“Mangsa dari Jelutong itu membuat laporan selepas mendapati dirinya ditipu sindiket Macau Scam. Suspek sangat licik dalam memanipulasi mangsa agar tidak menceritakan perkara itu kepada sesiapa termasuk anak mangsa yang bekerja sebagai pegawai bank,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. -SH Online

Leave a Reply