Input your search keywords and press Enter.

Pelumba Haram Mercedes Benz Kuning Tumpas

M Update, 21/1/2020 – Tiga individu termasuk seorang wanita ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes lumba haram membabitkan dua kereta Mercedes Benz, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud, berkata wanita berusia 30-an ditahan di rumahnya. Manakala katanya, dua lelaki berusia 30-an hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu selepas dipanggil.

“Kesemua mereka yang bekerja sendiri ditahan antara jam 8 hingga 9 malam tadi. Polis turut menahan kedua-dua kenderaan terbabit untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Abdul Rahim turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menjadikan jalan raya sebagai tempat untuk berlumba atau menunjuk jaguh sehingga menyusahkan orang lain.

“Pihak polis akan mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang tanpa kompromi,” katanya.

Terdahulu, tular video berdurasi 2.28 saat memaparkan dua buat kereta Mercedes Benz berwarna kuning terbabit dengan perlumbaan haram sehingga mengganggu lalu lintas di Jalan Kubang Kerian menghala ke Pasir Hor. Kejadian dipercayai berlaku jam 2 petang.

Difahamkan, salah seorang daripada pemilik kereta mewah yang menyertai perlumbaan itu dikaitkan dengan ahli perniagaan kosmetik di Kelantan. – HM Online

Leave a Reply