Input your search keywords and press Enter.

KDN: Islam Dalam MyKad Kekal

M Update, 22/1/2020 – Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak pernah merancang untuk mengkaji pemansuhan butiran agama pada kad pengenalan.

KDN dalam satu kenyataan semalam memaklumkan, butiran agama pada kad pengenalan dibuat oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengikut Peraturan 4 (cc), Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (PPPN 1990).

Menurut kenyataan itu, butiran agama Islam di bahagian depan kad pengenalan pula selaras dengan Jadual Pertama, Peraturan 5(2), PPPN 1990.

“Manakala, butiran bagi agama selain Islam hanya dimasukkan ke dalam cip kad pengenalan.

“Tindakan itu selaras dengan peruntukan mengikut Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan iaitu agama Islam adalah agama rasmi Persekutuan, tetapi agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

“Butiran agama pada kad pengenalan milik individu beragama Islam adalah antara elemen penting yang membantu penguatkuasaan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang syariah yang berkuat kuasa,” katanya.

Justeru, orang ramai diingatkan supaya tidak menyebarkan berita palsu mengatakan kononnya butiran agama pada kad pengenalan akan dimansuhkan yang boleh menggugat ketenteraman awam. – BH Online

Leave a Reply