Input your search keywords and press Enter.

Cermin Gelap: Hanya Pemandu Sahaja Dikenakan Saman


M Update, 23/01/2020 – Hanya pemandu kenderaan cermin gelap yang tidak mengikut spesifikasi akan dikenakan saman manakala pemilik akan diberikan notis membawa kenderaan itu untuk diperiksa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).


Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid, berkata tindakan itu diambil selepas pihaknya membuat kajian terperinci dan memperuntukkan maksimum dua saman sahaja boleh dikenakan pada satu kenderaan.


“Kita masih meneruskan pemeriksaan untuk cermin gelap, iaitu kadar kegelapan cermin depan sebanyak 70 peratus, cermin sebelah penumpang dan pemandu 50 peratus dan tiada peratusan kegelapan untuk cermin belakang.

“Jika kenderaan itu dipandu orang lain, tiada saman berganda akan dikeluarkan. Saman hanya dikeluarkan pada pemandu manakala pemilik kenderaan akan diberikan notis Seksyen 61(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu notis arah periksa kenderaan. Pemilik diberikan tempoh 10 hari untuk berbuat demikian.

“Sebelum ini, kita berikan saman kepada kedua-duanya atas kesalahan yang sama. Pemandu akan dikenakan saman, dan pemilik kenderaan juga akan menerima saman yang sama. Tetapi selepas kajian terperinci dijalankan, kita membuat keputusan supaya hanya pemandu akan diberikan saman terbabit,” katanya selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan JPJ, di Kementerian Pengangkutan, di sini hari ini.

Sebelum ini, BH melaporkan pemilik kenderaan dengan cermin gelap yang tidak mengikut spesifikasi akan turut dikenakan saman walaupun ketika ditahan penguat kuasa kereta itu dipandu orang lain.

Menurut laporan berkenaan, bagi kesalahan cermin gelap, tiga saman akan dikeluarkan kepada pemandu iaitu cermin sebelah pemandu, cermin sebelah penumpang hadapan dan cermin depan yang menjadikan jumlah saman dikeluarkan sebanyak enam saman iaitu tiga saman kepada pemandu dan tiga saman kepada pemilik. – BH Online


Sementara itu, mengenai kerusi keselamatan kanak-kanak (CRS), Shaharuddin berkata penguatkuasaan penuh akan dilaksanakan sepenuhnya bermula Jun ini.
“Kerajaan menetapkan bermula 1 Januari ini pengguna jalan raya yang membawa kanak-kanak perlu menggunakan CRS terbabit, namun pihak JPJ tidak membuat penguatkuasaan terbabit secara langsung sebaliknya lebih kepada pencegahan dan memberi khidmat nasihat.
“Sebanyak 525 notis peringatan dikeluarkan kepada kenderaan berkenaan untuk dimasukkan dalam pangkalan data. Kita mahu melihat berapa banyak kenderaan yang membawa kanak-kanak tetapi tidak gunakan CRS. Hal ini akan berterusan sehingga Jun, selepas itu barulah kita akan lihat apa tindakan penguatkuasaan yang boleh diambil,” katanya.

Leave a Reply