Input your search keywords and press Enter.

59 Pekerja Kilang Sesak Nafas Terhidu Gas Ammonia

M Update, 3/2/2020 – Seramai 59 pekerja mengalami sesak nafas dan muntah selepas terhidu gas ammonia bocor di sebuah kilang di Kulim Hitech, di sini, malam tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 11.42 malam.

Beliau berkata, seramai 24 anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim Hitech dan Pasukan Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dikejarkan ke lokasi kejadian. Menurutnya, siasatan awal mendapati, kebocoran gas berlaku pada saluran paip gas ke proses pengeluaran produk di stor kilang terbabit.

“Pekerja kilang diarahkan keluar dari lokasi kejadian selepas mendapati terdapat antara mereka mengalami muntah-muntah.

“Tindakan menyahcemarkan pada kesemua mangsa bagi meneutralkan gas dilakukan sebelum diserahkan kepada pegawai perubatan untuk rawatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamadul berkata, seramai 27 mangsa dihantar ke Hospital Kulim untuk menerima rawatan lanjut, seorang dirawat di zon merah dan 26 lagi dirawat di zon kuning. – BH Online

Leave a Reply