Input your search keywords and press Enter.

Coronavirus: Belum Wajib Pakai Topeng Muka

M Update, 3/2/2020 – Kerajaan belum bercadang untuk mewajibkan pemakaian topeng muka di tempat awam susulan penularan novel coronavirus (2019-nCoV) di China.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata setakat ini virus baharu itu belum menular dalam komuniti di negara ini, justeru mereka yang sihat tak perlu pakai topeng muka.

“(Tetapi) Jangan lupa kita ada influenza. Mereka yang ada penyakit ini apabila ke tempat orang ramai mungkin perlu lebih perlindungan. Jadi, terpulang kepada mereka (hendak) memakai penutup muka atau tidak, ini khusus untuk influenza sedia ada bukan kerana coronavirus,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Sambutan Tahun Baru Cina anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak semalam. Mengulas lanjut, beliau berkata, ketetapan dasar kerajaan berhubung topeng muka tidak akan dibuat berdasarkan kaji selidik dan pandangan orang ramai, sebaliknya perlu berpandukan kepada pandangan pakar termasuk daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

“Kita tahu ada kajian oleh satu stesen televisyen yang mendapatkan pandangan orang ramai sama ada mereka perlu memakai penutup muka atau tidak.

Dalam konteks itu, beliau berkata, jika seseorang ada penyakit jantung umpamanya, adakah mereka mendapatkan pandangan orang ramai sama ada perlu buat ‘balloon angioplasty’ atau ‘bypass operation’.

“Tidak kan? Mereka akan dengar pandangan daripada pakar jantung (untuk buat keputusan),” katanya.

Beliau mengulas kajian sebuah stesen televisyen baru-baru ini berkenaan pandangan orang ramai sama ada rakyat perlu memakai topeng muka berikutan kes coronavirus.

Dr Lee, yang juga Ahli Parlimen Gopeng, berkata demikian sebagai mengulas mengenai pandangan beberapa pakar bahawa pemakaian penutup hidung dan mulut perlu untuk mencegah jangkitan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV). 

Timbalan Menteri Kesihatan itu berkata sekiranya pemakaian penutup hidung dan mulut diwajibkan, ia akan mencetuskan satu suasana panik dengan terdapat kemungkinan permintaan untuk menutup tempat-tempat awam.

“Adakah kita perlu hentikan semua perhimpunan, tutup sekolah, tutup panggung wayang? Ini akan menyebabkan keadaan panik,” katanya. 

Setakat ini, jumlah kumulatif kes positif  2019-nCoV yang dilaporkan di Malaysia kekal lapan dengan jumlah kumulatif kes pesakit dalam siasatan (PUI) adalah 183 orang dan 18 orang masih menunggu keputusan makmal.

Leave a Reply