Input your search keywords and press Enter.

Malaysia Bertindak Balas Segera Terhadap Status Semasa Coronavirus

M update, 7/2/2020 – Malaysia akan memperketatkan kawalan sempadan dengan menambah bilangan mesin pengimbas haba dan makmal bagi mempercepatkan keputusan sampel jangkitan coronavirus 2019 (2019-nCoV)

Di samping itu, selain hospital kerajaan, Kementerian Kesihatan akan memperluaskan kemudahan menjalankan ujian pengesanan 2019-nCoV selain 18 makmal Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK), empat Makmal Kesihatan Awam di negeri dan 12 makmal hospital kerajaan seluruh negara kepada makmal swasta.

Langkah itu diputuskan dalam mesyuarat khas Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara mengenai wabak 2019-nCoV dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail petang semalam.

Dr Wan Azizah berkata tindakan itu diambil selepas mengambil kira status semasa jangkitan coronavirus yang kini membabitkan 27,636 kes di seluruh dunia dengan jumlah kematian keseluruhan sebanyak 564 orang dengan Malaysia mencatatkan 14 kes yang dikesan positif.

Beliau berkata, mesyuarat juga memutuskan untuk memperluaskan sekatan perjalanan pelawat China meliputi wilayah lain selain Hubei dan Wuhan. Katanya, Jabatan Imigresen akan mengambil tindakan sekatan perjalanan sebaik kerajaan China mengisytiharkan sesebuah wilayah dikuarantin.

“Kementerian Luar Negeri sedang menyelaraskan 212 kakitangan ‘non-essential’ dari Kedutaan/Konsulate General untuk balik ke Malaysia dengan segera. Setibanya mereka di KLIA, mereka akan dibawa ke tempat pemeriksaan kesihatan untuk menjalani saringan kesihatan termasuk pengambilan sampel klinikal.

“Mereka yang mempunyai gejala akan terus di bawa ke hospital, manakala yang tiada gejala akan dibenarkan pulang dan diletakkan di bawah pemantauan di rumah (home surveillance) untuk tempoh selama 14 hari. Mereka dikehendaki segera melaporkan diri di klinik/hospital berdekatan jika mempunyai gejala seperti batuk, selsema, demam, sesak nafas atau masalah kesihatan yang lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mesyuarat khas itu turut dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki bin Ali; Ketua-Ketua Setiausaha kementerian berkaitan, Majlis Keselamatan Negara, Jabatan Imigresen Malaysia dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Timbalan Perdana Menteri berkata, sehingga jam 8 malam tadi, seramai 10 orang daripada dua keluarga kakitangan ‘non-essential’ dari Guangzhou tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) dan dibawa terus ke tempat pemeriksaan kesihatan untuk menjalani saringan kesihatan.

Beliau berkata, mereka dibenarkan pulang ke rumah untuk menjalani pemantauan di rumah. Selain itu, katanya kerajaan sedia membantu 34 rakyat Malaysia di Wuhan yang tidak dapat kembali ke Malaysia bersama 107 yang dibawa pulang pada 4 Februari lalu.

“Walau bagaimanapun, buat masa ini mereka tidak boleh keluar dari wilayah itu berikutan sekatan keluar masuk yang dikenakan oleh Kerajaan China,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata penganjuran program dan aktiviti rasmi di tempat awam masih boleh diteruskan kecuali pihak penganjur berhasrat untuk membatalkannya. – BH Online

Leave a Reply