Input your search keywords and press Enter.

Lelaki Maut, Rakan Parah Dirempuh Pemandu Mabuk

M Update, 10/2/2020 – Lelaki maut manakala rakannya parah selepas motosikal ditunggang mereka dirempuh sebuah pacuan empat roda yang disyaki pemandunya mabuk dalam kejadian di Batu 10 Jalan Apas, dekat Tawau malam tadi.

Mangsa, Yusuf Hussin, 42, seorang pekerja kontrak meninggal dunia di tempat kejadian manakala rakannya Radjuddin Jamaluddin, 35, cedera di badan dan kepala.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, kejadian pada 10.30 malam itu turut menyebabkan pemandu wanita berusia 44 tahun itu cedera pada tulang belakang dan dirawat di Zon Merah Hospital Besar Tawau.

Menurutnya, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kenderaan yang dipandu wanita terbabit dari arah pusat bandar menuju ke Bandar Sri Indah hilang kawalan sebelum terbabas dan memasuki ke laluan bertentangan.

“Kenderaan itu kemudiannya melanggar sebuah motosikal sebelum menyeretnya sejauh 17 meter dan menyebabkan penunggang serta pemboncengnya tercampak ke dalam semak. Pemandu wanita itu yang dipercayai berada di bawah pengaruh alkohol turut merempuh pokok di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati ketika kejadian keadaan cuaca baik dan kering selain permukaan jalan berturap dengan jalan dua hala, dua lorong dan dipisahkan pembahagi jalan.

“Sampel darah pemandu wanita itu sudah diambil bagi mengesan kandungan alkohol di dalam badan dan kini disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Sumber : HM Online

Leave a Reply