Input your search keywords and press Enter.

PM Lancar Yayasan Antirasuah (PIACCF), Dana Untuk Penguat Kuasa Rasuah

M Update, 12/2/2020 – Yayasan Juara Antirasuah Antarabangsa Perdana (PIACCF) dilancarkan di sini malam tadi oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

PIACCF akan bertanggungjawab untuk Dana Juara Antirasuah Antarabangsa dan melengkapi aspirasi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mengenai Rasuah (UNCAC).  Dr Mahathir berkata dana itu penting kerana ia bertindak sebagai sistem sokongan untuk pegawai antirasuah yang telah menjadi mangsa, diancam dan dianiaya kerana menjalankan tugas mereka.

“Kita tahu bahawa memerangi dan mendedahkan rasuah merupakan (pekerjaan) sangat berbahaya dan dunia telah menyaksikan ramai orang yang cuba berbuat demikian, menerima padah, malah sehingga melibatkan nyawa mereka,” katanya pada majlis pelancaran itu.

Dr Mahathir berkata mereka yang terlibat dalam rasuah jelas berkuasa dan kaya, dan tujuan mereka adalah untuk mendapatkan lebih banyak kuasa dan kekayaan. Beliau berkata mereka mempunyai cara dan sumber untuk menghukum dan menghentikan orang-orang yang cuba menghalang perbuatan mereka.

“Kita berada di sini untuk memberitahu dunia bahawa semua pegawai antirasuah yang berkorban dalam menjalankan tugas mereka adalah juara dan wira kita … saya berbangga mengatakan bahawa Malaysia telah mengambil peranan penting dalam menangani perkara ini, bermula dengan pengenalan yayasan ini,” kata Perdana Menteri.

Beliau amat berharap sumbangan Malaysia akan memberi mesej kepada semua pegawai antirasuah bahawa kerajaan Malaysia sentiasa bersama mereka.

“Malah ia juga memberi mesej kepada pemberi dan penerima rasuah bahawa kita tidak mahu anda semua,” kata Dr Mahathir.

Sumber : BERNAMA

Leave a Reply