Input your search keywords and press Enter.

Jangan Sentuh Obor-Obor Beracun – JPM Terengganu

M Udate, 13/2/2020 – Jabatan Perikanan Malaysia (JPM) Terengganu menasihati orang ramai supaya berwaspada dan tidak menyentuh obor-obor jenis Portuguese man o’ war.

Pengarah Perikanan Terengganu, Zawawi Ali berkata, spesies obor-obor ini mempunyai ribuan sel penyengat berbisa yang boleh menyebabkan rasa sakit melampau jika terkena pada badan.

“Saya harap orang ramai mengambil langkah berjaga, tidak menyentuh atau berenang di kawasan yang terdapat haiwan itu,” katanya.

Katanya, obor-obor jenis ini tidak boleh berenang dan bergantung kepada arus. Zawawi berkata, sehingga kini tiada antivenom untuk merawat bisa yang disebabkan sengatan.

“Rawatan yang ada hanya berbentuk ubat penahan sakit dan melegakan simptom. Oleh itu, elakkan diri daripada terkena pada badan kerana ia akan menyebabkan kegatalan dan kesan negatif lain,” katanya.

Kelmarin, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Marang menemui obor-obor itu terdampar di Pantai Pulau Kekabu ketika menjalani Latihan Penyelamat Pantai.

Pegawai APM Marang, Kapten (PA) Mohd Zabri Abd Razak berkata, mereka diberitahu pelancong Australia yang bersantai di pantai itu berhubung kehadiran obor-obor berkenaan dan 11 bangkai terdampar sepanjang pantai manakala 10 lagi ditemui masih hidup di dalam air. Bangkai obor-obor itu dibawa ke Pusat Oceanagrafi Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk siasatan lanjut. – HM Online

Leave a Reply