Input your search keywords and press Enter.

Tidak Boleh Bin Atau Binti Bapa


M Update, 13/2/2020 – Persekutuan di Putrajaya dalam keputusan majoriti 4-3, memutuskan anak orang Islam yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan atau tidak sah taraf tidak boleh di bin atau binti dengan nama bapanya.

Panel tujuh hakim dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Rohana Yusuf membenarkan sebahagian rayuan dikemukakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), ketua pengarah JPN dan kerajaan untuk mengetepikan keputusan mahkamah rayuan.

Mahkamah Rayuan pada 2017, memutuskan anak orang Islam yang tidak sah taraf tidak boleh menggunakan nama bapa dan sebaliknya perlu ‘di bin atau binti Abdullah’.

Hakim Rohana yang menyampaikan keputusan majoriti Mahkamah Persekutuan itu hari ini berkata Seksyen 13A Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) tidak terpakai bagi pendaftaran kelahiran anak orang Melayu Islam kerana orang Melayu tidak menggunakan nama keluarga.

Beliau berkata Seksyen 13A tidak diguna pakai dalam sistem nama orang Melayu dan tidak membolehkan anak-anak di bin atau binti dengan nama peribadi orang yang diketahui adalah bapa kepada anak itu.

Hakim Rohana, bagaimanapun mengeluarkan perintah penting bagi ketua pengarah JPN mengeluarkan ‘bin Abdullah’ daripada sijil kelahiran kanak-kanak itu dalam kes ini.

“Nama responden pertama (kanak-kanak) tanpa ‘bin Abdullah’ perlu kekal,” katanya.

Hakim Rohana berkata ketua pengarah JPN tidak boleh menggunakan fatwa Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan terhadap kanak-kanak itu kerana tiada fatwa tentang bagaimana memberi nama pada kanak-kanak tidak sah taraf yang diwartakan di Johor.

Keputusan majoriti itu adalah daripada Hakim Rohana, Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed dan Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Mohd Zawawi Salleh dan Tan Sri Idrus Harun manakala penghakiman minoriti daripada Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri David Wong Dak Wah dan Hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Abang Iskandar Abang Hashim dan Datuk Nallini Pathmanathan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan.

Kanak-kanak itu dilahirkan kurang enam bulan selepas pernikahan ibu bapanya, yang disifatkan sebagai anak tidak sah taraf di bawah Undang-Undang Syariah.

Ibu bapa kanak-kanak (yang identiti mereka dirahsiakan oleh mahkamah) itu memohon kepada JPN mengikut Seksyen 13 BDRA untuk kanak-kanak itu di bin dengan nama bapanya di dalam sijil kelahirannya tetapi JPN enggan menggantikannya dengan nama bapa atas alasan kanak-kanak itu tidak sah taraf walaupun permohonan dibuat.

Ibu bapa itu kemudian memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi tetapi ditolak pada 4 Ogos, 2016.

Pada 25 Mei, 2017, Mahkamah Rayuan membenarkan semakan kehakiman mereka untuk mengarahkan ketua pengarah JPN menggantikan nama keluarga kanak-kanak berkenaan iaitu ‘Abdullah’ dengan nama bapa kanak-kanak itu dalam sijil kelahiran. – HM Online

Leave a Reply