Input your search keywords and press Enter.

Maritim Malaysia Tahan 4 Kapal China Berlabuh Tanpa Kebenaran

M Update, 17/2/2020 – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Labuan menahan empat kapal dari China yang berlabuh tanpa kebenaran di kedudukan 0.35 batu nautika dari Jeti Asian Base, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi, Maritim Malaysia Labuan turut menahan dua lelaki warga China masing-masing berusia 55 tahun. Pengarah Maritim Malaysia Zon Maritim Labuan, Komander Maritim Nor Bakari Abu Bakar berkata, kapal dari China itu dipercayai melakukan kesalahan berlabuh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut.

“Semua kapal berkenaan dikendali dan dijaga oleh dua lelaki warga China sebagai penjaga bagi keempat-empat kapal berkenaan. Hasil pemeriksaan lanjut mendapati keempat-empat kapal ini disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 491B (1)(I) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut.

“Jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya semalam.

Beliau berkata, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

“Amaran kepada semua komuniti maritim bahawa Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dengan mereka yang melakukan aktiviti menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia,” katanya.

Sumber : BH Online

Leave a Reply