Input your search keywords and press Enter.

Berkorban Nyawa Demi Negara!

M Update, 18/02/2020 – Kerajaan bangga dengan komitmen pasukan peninjau dari Beijing ke Wuhan, China dalam misi mengumpul dan menyelamatkan rakyat Malaysia yang terperangkap di bandar yang bermulanya penularan wabak koronavirus baharu (Covid-19).

Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah berkata, pasukan yang dianggotai enam individu itu layak digelar wira dan wirawati kerana sanggup mempertaruhkan nyawa bagi memastikan segala urusan berkaitan rakyat berjalan lancar.

Katanya, jasa dan pengorbanan pasukan peninjau berkenaan amat besar.

“Ketika orang lain keluar dari Wuhan, pasukan ini sanggup masuk ke bandar itu untuk menyelamat dan menguruskan hal berkaitan bagi memastikan rakyat negara ini selamat pulang ke Malaysia,

“Mereka adalah wira dan wirawati negara yang sebenar,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Permuafakatan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Program Jom Ke Sekolah peringkat Kuantan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Hajjah Kalsom, di Kuantan, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan dan tahap kesihatan pasukan peninjau yang membantu membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan, baru-baru ini.

Ditanya tahap kesihatan pasukan peninjau itu, Saifuddin berkata, difahamkan enam individu itu berada dalam keadaan sihat dan tiada sebarang jangkitan yang dialami.

Bagaimanapun, katanya, pengumuman rasmi berhubung tahap kesihatan pasukan peninjau itu akan dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Saya difahamkan mereka masih dikuarantin selama 14 hari sebaik tiba di negara ini dan KKM dijangka membuat pengumuman berhubung keadaan kesihatan mereka dalam beberapa hari lagi.

“Kita doakan semoga mereka berada dalam kesihatan yang baik sebaik tempoh kuarantin berakhir,” katanya.

Muka depan Harian Metro 9 Februari lalu melaporkan lima sekatan jalan raya dan 17 jam perjalanan darat terpaksa ditempuh pasukan peninjau dari Beijing ke Wuhan dalam misi mengumpul dan menyelamatkan rakyat Malaysia yang terperangkap di bandar yang bermulanya penularan wabak koronavirus baharu.

Bukan itu saja, pasukan itu hanya mempunyai masa terhad untuk membuka sekretariat, mengagihkan bekalan makanan, mendapatkan pelepasan penerbangan pesawat, menguruskan pasport dan memastikan semua rakyat Malaysia yang berada di Wuhan mendapat akses perjalanan di jalan raya daripada pihak berkuasa rentetan perintah berkurung dikeluarkan kerajaan China.

Enam ahli pasukan peninjau itu terdiri daripada Menteri Penasihat Kedutaan yang juga Ketua Delegasi Samsul Kahar Kamarudin dibantu Nik Mazaid Nik Man (Jabatan Kastam Diraja Malaysia), Ibrahim Jack (Jabatan Imigresen Malaysia), Nur Zaitie Suhana Zakaria (Setiausaha Pertama), Jason Choy Min Sheng (Setiausaha Pertama Pendidikan) dan Mohd Syahmi Md Yusoff (Polis Diraja Malaysia).

Leave a Reply