Input your search keywords and press Enter.

Bilal Masjid Parah Dibakar Penyerang Bertopeng

M Update, 19/2/2020 – Bilal Masjid Al-Hasanah dekat Taman Rakyat di sini, cedera parah apabila melecur beberapa bahagian badan akibat dibakar selepas disimbah minyak oleh individu tidak dikenali, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira 6 pagi itu, mangsa Amri Budin, 65, melecur teruk di bahagian muka, tangan, dan badan sebelah kiri. Menantu mangsa, Jarina Awang, 44, berkata sebelum kejadian bapa mentuanya masuk ke dalam kawasan masjid dengan menaiki motosikal dan berjalan di luar masjid untuk melihat maklumat mengenai kuliah agama yang ditampal di situ.

“Memang setiap pagi ayah akan pergi ke masjid untuk azan Subuh. Tetapi hari ini, semasa sedang tengok maklumat mengenai kuliah agama, dia nampak ada satu motosikal yang dinaiki individu tidak dikenali yang memakai topeng muka datang ke arahnya.

“Individu itu terus simbah minyak sebelum menyalakan api. Jemaah masjid yang sedar dengan kejadian itu terus bantu padamkan api dan buka baju ayah sebelum salah seorang daripada mereka menghubungi abang ipar saya,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Jarina berkata, abang iparnya, Shahrizal, 41, bersama isterinya terus ke masjid dan membawa bapa mentuanya ke Hospital Sultanah Bahiyah, di sini bagi mendapatkan rawatan.

“Dia berada dalam keadaan sedar tetapi muka, tangan dan badannya melecur dan ada bahagian kulitnya telah mengelupas. Abang ipar sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar kira-kira pukul 9 pagi tadi dan saya harap polis dapat menahan individu berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Mohd Rozi Jidin mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan siasatan sedang dijalankan bagi mengesan suspek. – BERNAMA

Leave a Reply