Input your search keywords and press Enter.

Jangan Sebar Berita Palsu – Datuk Ayob

M Update, 24/2/2020 – Masyarakat diingatkan supaya tidak menyebarkan sebarang berita palsu yang boleh menimbulkan ketidaktenteraman awam berkaitan situasi politik negara ketika ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Mydin Pitchay, berkata pihaknya memberi amaran untuk mengambil tindakan tegas serta tidak akan bertolak ansur kepada penyebar berita palsu bagi menjamin keamanan masyarakat.

“Walaupun banyak tindakan diambil termasuk tangkapan terhadap individu menyebarkan berita palsu sebelum ini, namun masih ada segelintir meneruskan perbuatan negatif itu. “Kita tidak mahu individu atau ada pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dalam isu politik negara ketika ini.

“Kalau kita tengok, sejak semalam banyak tersebar video dan audio oleh pelbagai pihak yang menggambarkan Malaysia ini seolah-olah akan menghadapi satu isu ketenteraman awam. “Tindakan tegas akan diambil kepada pihak tidak bertanggungjawab ini. Jangan bila kita ambil tindakan baru hendak menyesal, ” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis serah terima tugas antara beliau dan bekas Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamaruddin Md Din di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru, hari ini. Majlis berkenaan disaksikan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor.

Ayob berkata, polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pihak terbabit mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan. Sementara itu, mengenai tugas baharunya, Ayob Khan berkata, beliau akan meneruskan polisi dilaksanakan sebelum ini.

“Saya akan meneruskan polisi yang bagus, yang mana ada kekurangan, saya akan perbaiki lagi. “Namun, antara fokus utama saya adalah banteras salah guna kuasa dan rasuah dalam kalangan pegawai dan anggota polis selain terus memperbaiki penyampaian perkhidmatan polis, ” katanya.

Ayob sebelum ini adalah Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas, Cawangan Khas, Bukit Aman sebelum dilantik Ketua Polis Johor. Pelantikan itu dibuat selepas Kamarudin ditukarkan ke Bahagian Pentadbiran, Jabatan Pengurusan Bukit Aman. – HM Online

Leave a Reply