Input your search keywords and press Enter.

Penganggur Hina Islam Dijel 3 Bulan

M Update, 28/2/2020 – Seorang penganggur dihukum penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini semalam selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan menghina agama Islam menggunakan telefon bimbitnya pertengahan bulan ini.

Majistret Teoh Shu Yee menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Shaffik Amat Zairudin, 26. Beliau didakwa menghantar komunikasi yang mengandungi kata-kata kesat dan penghinaan terhadap agama Islam kepada kenalan wanitanya yang berusia 24 tahun menggunakan telefon bimbit di Taman Bertam Jaya, Cheng di sini pada jam 11 pagi, 15 Februari lalu.

Tindakan itu dilakukan dengan niat untuk melukakan perasaan agama yang dianuti oleh wanita terbabit dan juga abangnya yang berusia 28 tahun. Dia dituduh melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dia ketika rayuan memohon hukuman diringankan dengan alasan tindakan itu dibuat kerana tertekan selain sudah bertaubat.

Timbalan Pendakwa Raya, Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal mencadangkan kepada mahkamah agar hukuman setimpal berbentuk pengajaran dikenakan dengan alasan perbuatan tertuduh adalah serius dan tidak menjaga sensitiviti agama.

“Faktor tertekan bukanlah alasan untuk tertuduh berkelakuan sedemikian,” katanya.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara tiga bulan dari tarikh dia dijatuhi hukuman. – SH Online

Leave a Reply