Input your search keywords and press Enter.

Tiada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat Isnin Ini – Speaker

M Update, 28/2/2020 – Tiada Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada Isnin ini, kata Yang Dipertua, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.

Beliau berkata, Surat Pemakluman Memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang ditandatangani Perdana Menteri Interim, tidak menepati Peraturan Mesyuarat 11 (3) kerana tidak disusuli Pemberitahuan Usul yang lengkap.

“Saya selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat sudah menerima Surat Pemakluman Memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang ditandatangani Perdana Menteri Interim, memaklumkan bahawa kerajaan telah bersetuju supaya Dewan Rakyat dipanggil bermesyuarat pada Isnin, 2 Mac 2020.

“Namun, saya mendapati surat berkenaan tidak menepati Peraturan Mesyuarat 11 (3) kerana tidak disusuli dengan Pemberitahuan Usul yang lengkap. “Mengikut Peraturan Mesyuarat 11 (3), pemberitahuan dan tarikh mesyuarat akan dikeluarkan oleh saya selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat.“Setakat ini, tiada notis dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Ariff berkata, keperluan untuk mengadakan mesyuarat itu akan dibuat selepas mendapat pemakluman titah rasmi daripada Yang di-Pertuan Agong berhubung proses pemilihan Perdana Menteri.

“Saya akan terus meneliti perkembangan semasa dan kenyataan mengenai notis serta tarikh Mesyuarat Khas akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Sebelum ini, Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat ketetapan Dewan Rakyat akan bersidang Isnin ini bagi menentukan siapa Perdana Menteri menerusi undian majoriti.

Ini berikutan tiada pemimpin yang mendapat majoriti selepas 221 Ahli Parlimen menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa dan Rabu menyebabkan Dewan Rakyat menjadi forum terbaik menentukan siapa bakal Perdana Menteri ke- 8. – HM Online

Leave a Reply