Input your search keywords and press Enter.

Tiada Kes Covid-19 di Bandar Putra Kulai

M Update, 3/3/2020 – Jabatan Kesihatan Johor menafikan ada mengeluarkan kenyataan mengarahkan penduduk di Bandar Putra Kulai, Johor Bahru, supaya tidak mengunjungi padang dan taman permainan berikutan penularan koronovirus baharu (Covid-19).

Kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman rasmi jabatan itu di Facebook turut mengingatkan persatuan penduduk supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan penularan Covid-19 tanpa mendapatkan pengesahan pihak berkuasa.

“Ini boleh menimbulkan situasi panik dan kebimbangan dalam kalangan penduduk yang boleh menyukarkan Jabatan Kesihatan menjalankan tugas.“Di samping itu, terdapat maklumat tidak betul dan Jabatan Kesihatan tidak pernah mengeluarkan kenyataan padang serta taman permainan tidak boleh dikunjungi buat masa ini,” kata jabatan itu menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Jabatan itu turut menasihati penduduk supaya memakai penutup hidung dan mulut jika mempunyai tanda-tanda seperti batuk, selsema dan sakit tekak.

“Fungsi utama adalah untuk menghalang jangkitan Covid-19, malah boleh menyumbang kepada risiko jangkitan sekiranya pemakainya leka terhadap tindakan pencegahan seperti kebersihan diri dan menjauhi diri daripada mereka yang sakit.

“Pihak komuniti (persatuan penduduk) boleh melaporkan kepada pejabat kesihatan daerah yang terdekat sekiranya ada keraguan berkaitan dengan penularan Covid-19 bagi mendapatkan kepastian,” katanya.

Terdahulu, surat rasmi daripada Persatuan Penduduk Alpinia Bandar Putra Kulai tular di media sosial menyatakan ada individu dijangkiti Covid-19 di sekitar kawasan perumahan itu. Surat itu turut mengeluarkan kenyataan supaya penduduk mengelak kawasan padang dan taman permainan kanak-kanak sehingga diberitahu, selain menangguhkan aktiviti keramaian.

Leave a Reply