Input your search keywords and press Enter.

Wanita Maut Kenderaan Dihempap Kayu Balak

Foto : JBPM Pulau Pinang

M Update, 4/3/2020 – Seorang wanita maut selepas kereta yang dipandunya dihempap lori membawa muatan kayu balak yang terbabas di Jalan Bukit Teh-Machang Bubok, Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.55 petang itu, mangsa Ong Yean Leng maut di tempat kejadian akibat cedera parah selepas tersepit di dalam keretanya yang terperosok ke dalam longkang di bahagian kanan jalan.

Foto : JBPM Pulau Pinang

Menurut Komander Operasi Kanan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Penguasa Bomba Mohd Shukri Abdul Rahman, dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam dan Sungai Bakap bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 3.58 petang.

Mohd Shukri memaklumkan sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati sebuah lori membawa muatan kayu balak terbalik dan menghempap sebuah kereta serta terdapat seorang mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu. Selain menggunakan peralatan menyelamat, bomba turut mendapatkan bantuan dua buah kren bagi mengalihkan kayu balak yang menghempap kereta mangsa.

Foto : JBPM Pulau Pinang

“Mangsa berumur 38 tahun dan berasal dari Kampung Machang Bubok. Mangsa tersepit di bahagian hadapan, jadi bomba menggunakan alat pemotong untuk mengeluarkan mangsa. “Kita berjaya keluarkan mangsa dalam masa sejam dan kita serahkan kepada pihak polis,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Prai Tengah, Superintendan Mustafa Bidin memberitahu kejadian dipercayai berlaku apabila lori membawa muatan kayu balak dalam perjalanan menghala Jawi terbabas. Katanya, ketika tiba di tempat kejadian, kereta Proton Iswara yang dipandu mangsa tiba-tiba memasuki laluan bertentangan, lalu berlaku pertembungan sebelum lori terbalik dan menghempap kereta.

Foto : JBPM Pulau Pinang

Berikutan itu, mangsa maut di tempat kejadian manakala pemandu lori berusia 56 tahun ditahan untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Leave a Reply