Input your search keywords and press Enter.

Ajal Pergi Sekolah

M Update, 10/3/2020 – Perjalanan seorang murid lelaki tahun enam ke sekolah berakhir tragedi apabila maut dalam kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Batu 9 Lekir, Sitiawan, hari ini.

Dalam kemalangan kira-kira 7.30 pagi itu, mangsa Mohd Hafizudin Norsalnizam,12, yang menaiki Proton Wira bersama bapa dan adik perempuannya yang berusia sembilan tahun, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala. Bapa mangsa berusia 44 tahun dan adik perempuannya cedera.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata kemalangan membabitkan Proton Wira yang dipandu bapa mangsa dengan Proton Waja yang dipandu seorang lelaki berusia 65 tahun.

“Siasatan awal mendapati Proton Wira berkenaan dari arah Kayan menghala ke Sitiawan manakala Proton Waja pula datang dari arah bertentangan. “Apabila tiba di lokasi kejadian, Proton Wira berkenaan dipercayai hilang kawalan dan memasuki laluan Proton Waja. Disebabkan jarak yang terlalu dekat pemandu kereta itu tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian sisi kanan kereta dinaiki tiga mangsa terbabit.

“Kemalangan itu menyebabkan penumpang hadapan Proton Wira iaitu kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta cedera di kepala serta kaki.

“Seorang lagi mangsa yang juga penumpang belakang kereta berkenaan iaitu kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun pula luka di bibir serta tangan manakala pemandu Proton Waja mengalami kecederaan di kepala dan lutut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Nor Omar berkata, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan, Tajol Ariff Ahmad berkata, bomba yang tiba di lokasi selepas menerima maklumat berhubung kejadian itu mendapati terdapat seorang mangsa tersepit manakala kanak-kanak lelaki meninggal dunia.

Bomba kemudian mengeluarkan pemandu Proton Wira yang tersepit di tempat duduknya dengan menggunakan peralatan khas sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan. Mayat mangsa pula diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut sebelum operasi tamat pada 8.05 pagi,” katanya. – BH Online

Leave a Reply