Input your search keywords and press Enter.

Ikan Singgang, Kari Hanya Spekulasi Rawat Covid-19

M Update, 12/3/2020 – Orang ramai diminta supaya menghentikan segala spekulasi yang tidak berasas berkaitan Covid-19 di negara ini termasuk dakwaan kononnya ikan singgang mampu merawat penyakit berkenaan.

Pengarah Tropical Infectious Diseases & Education Centre (TIDREC) Universiti Malaya (UM) Prof Dr Sazaly Abu Bakar berkata, bukan sahaja ikan singgang tetapi kari juga antara menu yang kini tular didakwa mempunyai potensi merawat Covid-19 itu.

“Ikan singgang didakwa mempunyai potensi merawat Covid-19 kerana alasan mengandungi bahan tertentu seperti kunyit dan lengkuas yang boleh melawan mikrob.

“Masakan kari pula didakwa berkhasiat dan mampu mencegah dan merawat Covid-19 kerana penduduk di India yang suka makan kari setakat ini tiada kes dijangkiti penyakit berkenaan,” katanya ketika ditemui pada Forum Covid-19 antara Spekulasi dan Realiti di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di Kuala Nerus hari ini.

Hadir sama dan menjadi panel pada forum itu adalah Pakar Kesihatan Keluarga Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu Dr Darisah Lah dan Pengarah Pusat Kesihatan UMT Dr Arnie A Rahim.

Sazaly berkata, tiada sebarang kajian dan penyelidikan yang dibuat ke atas ikan singgang atau kari bagi membuktikan keberkesanan masakan itu melawan penyakit.

“Tiada mana-mana pihak yang pernah atau sedang menjalankan kajian klinikal ke atas menu ikan singgang ke atas Covid-19 itu seterusnya tiada pihak yang boleh mengesahkan dakwaan berkenaan.

“Oleh itu, saya meminta supaya menghentikan sebarang maklumat tidak benar berhubung Covid-19 dan memberi tumpuan terhadap langkah pencegahan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Jika suka dan gemarkan ikan singgang atau kari, boleh teruskan untuk makan kerana kedua-duanya memang hidangan yang sedap,” katanya.

Menurutnya, Covid-19 boleh dijangkiti melalui tiga saluran utama iaitu mata, hidung dan mulut.

“Orang ramai perlu memastikan tangan tidak selalu menyentuh bahagian muka selain sentiasa mencuci tangan pada setiap masa. “Bagi yang mempunyai tanda penyakit seperti batuk, mereka perlu memakai penutup hidung dan mulut serta mendapat rawatan segera di klinik.

“Semua orang perlu bertanggungjawab dan memainkan peranan penting bagi mencegah penularan wabak dengan membuat pemeriksaan sekiranya berisiko dijangkiti Covid-19,” katanya.

Menurutnya, penggunaan alat penghawa dingin juga boleh dikurangkan kerana virus itu gemar pada suhu yang sejuk.

“Bukan tidak boleh menggunakan alat penghawa dingin tetapi pastikan peredaran udara di dalam sesuatu bangunan itu baik dan sentiasa bertukar ganti,” katanya. – HM Online

Leave a Reply