Input your search keywords and press Enter.

COVID-19: UiTM Tangguh Istiadat Konvokesyen Di Seluruh Kampus

M Update, 13/3/2020 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) menangguhkan Istiadat Konvokesyen ke-92 yang dijadualkan bermula 24 Mac ini.

Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim, berkata keputusan itu diambil setelah mengambil kira laporan penularan wabak COVID-19 yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) semalam. Beliau berkata, penangguhan itu membabitkan istiadat konvokesyen di kampus Shah Alam serta semua kampus cawangannya.

“Penularan wabak COVID-19 yang berlaku di seluruh dunia menyebabkan WHO mengisytiharkan ia sebagai pandemik justeru, pengurusan UiTM perlu mengambil tindakan pencegahan dan proaktif demi kesihatan dan keselamatan seluruh warga UiTM dan masyarakat amnya.

Selepas mengambil kira nasihat daripada KKM serta Mesyuarat Khas Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-92, pihak Pengurusan Eksekutif UiTM membuat keputusan untuk menangguhkan Istiadat Konvokesyen UiTM ke – 92 di kampus Shah Alam serta semua kampus cawangan.

“Tarikh baharu untuk istiadat berkenaan akan dimaklumkan kelak,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, segala kesulitan dan perkara bersangkutan yang berbangkit adalah amat dikesali. Jelasnya, pengurusan UiTM juga amat menghargai kefahaman, sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh semua pihak di dalam hal ini.

“Bersamalah kita berdoa dan mengharapkan wabak ini dapat ditangani segera dan keadaan kembali pulih sepenuhnya,” katanya.

Istiadat Konvokesyen UiTM dijadualkan bermula pada 24 Mac ini di kampus utama di Shah Alam dan diikuti 11 kampus cawangan iaitu di Melaka, Perlis, Kedah, Penang, Negeri Sembilan, Kelantan, Sabah, Terengganu, Sarawak, Pahang dan Perak. – BH Online

Leave a Reply