Input your search keywords and press Enter.

TH Isytihar Agihan Keuntungan Selepas Zakat 3.05 Peratus

M Update, 13/3/2020 – Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat pada kadar 3.05 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, agihan melibatkan jumlah RM2.1 bilion, iaitu RM1.2 bilion lebih tinggi berbanding RM0.9 bilion bagi tahun kewangan 2018.

“Agihan keuntungan yang lebih baik ini kerana prestasi kedudukan kewangan yang semakin baik berasaskan strategi pelaburan yang mampan serta langkah pengurusan kos secara berhemat.

“Bagi tahun kewangan 2019, TH berjaya menjana pendapatan pelaburan berjumlah RM3.3 bilion, yang mana sejumlah RM1.2 bilion diperoleh dalam suku keempat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, secara keseluruhan, pendapatan pelaburan yang dijana TH adalah lebih stabil dengan pelaburan aset pendapatan tetap menjana 58 peratus pendapatan atau sebanyak RM1.9 bilion manakala pelaburan hartanah, ekuiti dan instrumen pasaran wang Islam masing-masing menyumbang RM0.5 bilion (15 peratus), RM0.5 bilion (15 peratus) dan RM0.4 bilion (12 peratus).

“Perubahan strategi pelaburan TH kepada aset pelaburan yang lebih stabil turut berjaya mengurangkan tekanan akibat keadaan pasaran saham yang tidak menentu, antara lainnya berpunca daripada ketegangan perang dagangan di peringkat global.

“Pada 31 Disember lalu, kedudukan kewangan TH kekal stabil dengan jumlah aset melebihi jumlah liabiliti sebanyak RM2.9 bilion (sebelum agihan keuntungan kepada pendeposit) berdasarkan jumlah aset RM74.3 bilion dan jumlah liabiliti RM71.4 bilion,” katanya.

Nik Mohd Hasyudeen berkata, dengan pengurusan kos yang berhemat, TH berjaya mencatat keuntungan selepas zakat bagi tahun kewangan 2019 berjumlah RM1.9 bilion, peningkatan 19 peratus atau RM0.3 bilion berbanding RM1.6 bilion bagi tahun kewangan lalu.

Tambah beliau, peningkatan keuntungan selepas zakat itu dicapai setelah TH mengambil kira beberapa perkara iaitu RM86 juta bagi pembayaran zakat kepada majlis agama Islam negeri-negeri di Malaysia Katanya, TH juga membelanjakan sebanyak RM370 juta bagi mengurus dan menyediakan pelbagai kemudahan kepada semua jemaah haji Malaysia serta mengekalkan kadar bayaran haji pada RM9,980 (berbanding kos sebenar RM22,900) bagi setiap jemaah haji Muassasah yang menunaikan haji buat kali pertama pada musim haji 1440 hijrah yang lalu.

Mengulas lanjut mengenai agihan keuntungan, Nik Mohd Hasyudeen berkata, agihan keuntungan yang diisytihar TH itu adalah lebihan keuntungan pelaburan setelah mengambil kira perbelanjaan dan bantuan kos haji, bayaran zakat dan kos pengurusan. Oleh itu, beliau memberitahu, pendeposit TH bukan sahaja mendapat manfaat pulangan keuntungan ke atas simpanan mereka, malah turut menyumbang secara langsung dalam membantu jemaah haji Malaysia menunaikan Rukun Islam kelima dan golongan asnaf dalam menjaga kebajikan mereka.

“TH membayar zakat bagi pihak pendeposit dan mereka tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan dan agihan keuntungan yang diterima.

“Melangkah ke depan, TH akan terus berusaha menambah manfaat ke atas simpanan pendeposit di TH setelah peralihan kepada kontrak simpanan Wakalah dengan memperkenalkan pelbagai tambah nilai yang lain selain terus memastikan prestasi pelaburan yang mampan,” katanya.

Katanya, agihan keuntungan bagi tahun kewangan 2019 dikira berdasarkan purata baki simpanan terendah bulanan pendeposit.

Pendeposit boleh menyemak pengkreditan agihan keuntungan bermula 16 Mac ini menerusi kaunter TH, Bank Islam dan Bank Rakyat atau di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) Bank Islam, Bank Rakyat, Maybank dan CIMB atau secara atas talian di laman sesawang www.thijari.com.my dan portal internet Bank Islam, Bank Rakyat dan Maybank.

Orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan Tabung Haji (THCC) menerusi talian 03-6207 1919 untuk pertanyaan lanjut. – SH Online

Leave a Reply