Input your search keywords and press Enter.

Denda, Penjara Jika Langgar Perintah Kawalan Pergerakan

M Update, 18/3/2020 – Mana-mana individu yang melanggar arahan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan boleh didenda sehingga RM 1,000 atau penjara enam bulan atau tidak kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, hukuman diputuskan menerusi Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang berkuat-kuasa hari ini hingga 31 Mac. Katanya, menerusi peraturan yang diwartakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 itu, petugas kesihatan diberi kuasa untuk memastikan tiada mana-mana pihak ingkar perintah kawalan yang ditetapkan.

“Menurut peraturan, jika pegawai yang diberi kuasa meminta apa-apa maklumat berhubung pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit daripada mana-mana orang, orang itu hendaklah mematuhi permintaan itu.

“Mana-mana orang yang melanggar peruntukan peraturan ini melakukan kesalahan dan hendaklah apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM1,000 atau dipenjara selama tempoh tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, sebelum warta ini dikeluarkan, Seksyen 11(4) Akta 342 dibaca bersama Seksyen 24(a) akta sama menegaskan, sesiapa yang melanggar garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan boleh dipenjarakan selama dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan bagi mengawal penularan wabak Covid-19 dengan semua sektor awam dan swasta ditutup kecuali perkhidmatan perlu. Malaysia mencatatkan dua kematian akibat Covid-19 setakat semalam.

Leave a Reply