Input your search keywords and press Enter.

Kaunter Bayaran Saman Trafik Ditutup

M Update, 18/3/2020 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menutup semua kaunter pembayaran saman trafik dan permohonan lesen di seluruh negara berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bermula esok sehingga 31 Mac ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, tindakan itu bertujuan bagi mematuhi perintah kawalan berkenaan.

“Jika ada mana-mana pihak yang terdesak seperti akan dikenakan tindakan disenarai hitam atau sebagainya, mereka boleh membuat pembayaran secara dalam talian.

“Selain itu, orang ramai juga disarankan untuk berkomunikasi dengan balai polis berhampiran bagi menyelesaikan permasalahan berkenaan. Tindakan ini bagi mengelakkan orang ramai berkumpul di tempat awam,” katanya dalam sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, hari ini.

Sementara itu, Abdul Hamid turut menjelaskan mana-mana pekerja bukan daripada sektor perkhidmatan penting yang diminta bekerja oleh majikan mereka boleh tampil membuat laporan polis.

Sudah dijelaskan dalam pengumuman dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa sektor awam dan swasta bukan dalam kategori berkenaan (perkhidmatan penting) diarahkan menutup premis.

“Syarikat atau majikan yang mengingkari arahan itu boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta 342 (Seksyen 5 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988),” katanya.

Leave a Reply