Input your search keywords and press Enter.

Solat Hajat Titip Doa Buat Negara Dan Rakyat

M Update, 27/3/2020 – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menitip doa memohon negara dijauhi bala dan seluruh rakyat diselamatkan daripada wabak Covid-19.

Beliau berkata, beberapa doa dibaca ketika menunaikan solat hajat hari ini, dihimpun khusus berkenaan wabak yang sedang melanda negara ketika ini.

“Antara intipati doa yang kami titipkan adalah memohon kepada Allah SWT supaya selamatkan kami daripada keterukan atau bahaya sebarang bentuk bala. Begitu juga hilangnya nikmat yang kami dapat dan diselamatkan daripada sebarang musuh.

“Kami juga memohon kepada Allah moga-moga diselamatkan dan perlindungan daripada penyakit barah, kusta, gila dan sebarang bentuk penyakit kronik termasuk Covid-19.

“Kita juga minta penyembuhan kepada orang yang sakit di kalangan kita dan memohon rahmat kepada yang telah meninggal dunia serta diberi afiat kepada orang yang terkena bala. Itu sebahagian doa yang kami munajatkan kepada Allah SWT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual selepas menunaikan solat hajat hindari Covid-19 yang disiarkan secara langsung di TV Al-Hijrah, hari ini. Mengulas lanjut, Dr Zulkifli berkata, wabak Covid-19 yang sedang melanda negara ketika ini adalah ujian dan Allah menjanjikan berita gembira untuk orang bersabar.

“Dalam saat seperti ini (Covid-19), kita tidak lagi perlu menyalahi sesiapa tetapi apa yang diajar oleh Allah SWT supaya bermuhasabah dengan menghiasi diri dengan kesabaran dan mencari keredaan Allah. “Apabila kita yakin bahawa di sebalik sesuatu itu penuh hikmah yang tak terjangkau dek akal dan mengambil dari sisi positif, kita akan mendapat hikmahnya,” katanya.

Katanya, rakyat perlu menggunakan peluang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama sebulan dilaksanakan oleh kerajaan dengan meluangkan masa dan menunaikan solat berjemaah bersama keluarga.

Leave a Reply