Input your search keywords and press Enter.

PM : Keupayaan Fasiliti Hospital Cukup Tangani COVID-19

Foto : FB PM, Tan Sri Muhyiddin Yassin

M Update, 31/3/2020 – Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin dengan keupayaan fasiliti yang disediakan, khususnya hospital untuk mengendalikan pesakit COVID-19 sekiranya penularan wabak terbabit terus meningkat.

Perdana Menteri berkata, selain hospital COVID-19, fasiliti disediakan di Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) dan Institut Latihan Kementerian Kesihatan (KKM) disifatkan mencukupi untuk menempatkan pesakit. Beliau berkata, penyediaan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) juga antara langkah kesiapsiagaan kerajaan dalam menghadapi penularan wabak berkenaan.

Foto : FB PM, Tan Sri Muhyiddin Yassin

“Hari ini saya melawat kerja akhir penyediaan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah di MAEPS yang dibina sebagai persediaan bagi menempatkan pesakit COVID-19 jika bilangan kes positif wabak ini terus meningkat. Ia mampu menempatkan sehingga 600 pesakit COVID-19 pada satu-satu masa dan usaha ini diselaraskan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dengan kerjasama enam pihak lain.

“Antaranya Kementerian Kesihatan (KKM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kerja Raya,” katanya menerusi kenyataan dimuat naik melalui akaun Facebook rasminya, semalam.

Foto : FB PM, Tan Sri Muhyiddin Yassin

Sambil meluangkan masa meninjau persiapan akhir itu, Muhyiddin menjelaskan antara perkhidmatan disediakan di pusat berkenaan ialah rawatan klinikal dan wad untuk pesakit COVID-19. Katanya, ruang ‘resuscitation’ untuk menstabilkan pesakit dalam keadaan kecemasan, perkhidmatan ambulans, perkhidmatan farmasi, perkhidmatan sinar X dan perkhidmatan makmal patologi turut disediakan.

“Kemudahan yang disediakan kepada pesakit termasuk katil, meja, kerusi, loker, televisyen, ruang legar, jalur lebar, komputer, surau, kamera litar tertutup (CCTV), tandas, ruang mandi, bilik persalinan dan ruang istirehat.

“Bagi anggota bertugas pula, pusat ini menyediakan kaunter jururawat, bilik rawatan dan kecemasan, ruang rehat anggota, bilik persalinan anggota dan ruang mandi termasuk ruang persalinan pakaian perlindungan persendirian, selain bilik mesyuarat dan seminar,” katanya

Foto : FB PM, Tan Sri Muhyiddin Yassin

Leave a Reply