Input your search keywords and press Enter.

‘Lupakan Bazar Ramadan’ – Sultan Johor

M Update, 2/4/2020 – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menegaskan bazar Ramadan tidak sesuai diadakan di Johor susulan penularan wabak Covid-19 ketika ini.

Sultan Ibrahim menerusi akaun rasmi Facebook baginda bertitah, ini adalah disebabkan risiko berlaku kontak rapat adalah amat besar, sekali gus boleh memberi kesan kepada kesihatan masyarakat secara keseluruhan.

“Kes positif Covid-19 masih dilaporkan berlaku, maka saya melihat adalah tidak sesuai jika mahu diadakan bazar Ramadan bukan sahaja di sini, malah di tempat lain juga demi kesihatan serta keselamatan rakyat.

“Lupakan bazar Ramadan, saya bimbang jika berlaku penularan virus berkenaan secara berleluasa, ini akan turut memberi kesan kepada usaha kerajaan dalam membasmi sepenuhnya wabak ini,” titah baginda.

Kelmarin, Kerajaan Johor dilaporkan akan mengumumkan keputusan sama ada membenar atau membatalkan bazar Ramadan di seluruh negeri ini, dalam masa terdekat. Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Ayub Jamil dilaporkan berkata keputusan berkenaan akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Ahli Majlis Kerajaan Negeri (EXCO) sebelum diumumkan secara rasmi.

Sultan Ibrahim turut bertitah masyarakat tidak seharusnya memandang ringan arahan serta nasihat pihak berkuasa.

“Anda lihat sendiri, bagaimana petugas perubatan bersama pasukan barisan hadapan bertugas dari pagi hingga malam dalam usaha mahu membendung penularan wabak ini.

“Bayangkan, jika wabak ini semakin berleluasa ia akan turut memberi kesan kepada pasukan perubatan sehingga merencatkan sistem rawatan,” titah baginda.

Sultan Ibrahim turut bertitah masyarakat tidak seharusnya memandang ringan arahan serta nasihat pihak berkuasa. – HM online

Leave a Reply