Input your search keywords and press Enter.

COVID19: Pekerja Pulang Dari Singapura Perlu Kuarantin Di Rumah

M Update, 7/4/2020 – Rakyat Malaysia yang pulang dari Singapura susulan langkah tegas republik itu untuk mengekang peningkatan jangkitan Covid-19, digesa melakukan kuarantin diri.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Johor, R Vidyananthan berkata, pekerja Malaysia yang pulang dari Singapura dilarang keluar rumah jika tiada urusan penting. Katanya, jika melakukan kuarantin di rumah, mereka dinasihatkan kerap mencuci tangan menggunakan sabun atau cecair pembasmi kuman (hand sanitizer).

“Gunakan penutup mulut dan hidung serta amalkan penjarakan sosial satu meter jika berinteraksi dengan keluarga. Maklumkan kepada petugas kesihatan sekiranya mempunyai sebarang gejala seperti batuk, demam dan selsema,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

NSTP melaporkan, sejak petang semalam, ratusan pekerja negara ini dari Singapura mula pulang bermula jam 4.30 petang. Mereka tiba di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini pada jam 5.30 petang. Kebanyakan mereka terpaksa berjalan kaki merentasi Tambak Johor sepanjang 1.5 kilometer.

Dilaporkan rakyat Malaysia yang pulang ke Malaysia wajib mengemukakan borang pengisytiharan keluar Singapura selain sijil kesihatan yang mengesahkan mereka sihat dan tidak ada simptom penyakit sebelum dibenarkan melepasi pemeriksaan.

Mereka juga akan menjalani pemeriksaan oleh pihak berkuasa Malaysia termasuk disaring alat pengukur suhu ketika di BSI. – HM Online

Leave a Reply