Input your search keywords and press Enter.

Pesakit Disaran Guna VAS Untuk Ubat Susulan

M Update, 7/4/2020 – Pesakit yang diberikan rawatan ubat bagi penyakit kronik disaran menggunakan Perkhidmatan Tambah Nilai Farmasi (VAS) sedia ada di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM).

Antara perkhidmatan VAS ditawarkan adalah Ubat Melalui POS (UMP), farmasi pandu lalu, Locker4U dan sistem temu janji farmasi. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia bagi mengelakkan pesakit terbabit daripada terganggu, selain mengekalkan jarak sosial sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebelum ini katanya, kos penghantaran bagi perkhidmatan UMP antara RM5.30 hingga RM10.60 mengikut berat dan zon penghantaran, ditanggung oleh pesakit serta perlu dibayar secara tunai kepada Pos Malaysia ketika menerima bekalan ubat.

“Bagaimanapun, bagi meringankan beban pesakit, kos penghantaran ubat melalui perkhidmatan UMP, dianggarkan bernilai RM638,000 akan ditanggung KKM selama tiga bulan, berkuat kuasa semalam. Pesakit digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan pembekalan UMP dengan ubat boleh dihantar terus ke rumah tanpa perlu datang ke hospital atau klinik kesihatan, dalam tempoh PKP.

“Ubat yang boleh dibekalkan melalui perkhidmatan UMP ini adalah ubat biji seperti tablet dan kapsul,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, pesakit disaran menggunakan perkhidmatan VAS lain bagi ubat yang memerlukan cara penyimpanan khusus atau cecair, seperti insulin.

“Pesakit perlu menghubungi unit farmasi di fasiliti KKM yang mereka terima rawatan untuk didaftarkan bagi mendapatkan perkhidmatan ini serta maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan VAS.

Sebarang pertanyaan mengenai ubat, orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan (NPCC) di talian 1800-88-6722, antara jam 8 pagi hingga 5 petang, setiap Isnin hingga Jumaat, kecuali cuti umum,” katanya. – BH ONline

Leave a Reply