Input your search keywords and press Enter.

‘Sumber Kewangan Negara Mencukupi’ – Tengku Zafrul

M Update, 10/4/2020 – Kerajaan memiliki sumber kewangan mencukupi untuk membendung penularan COVID-19 dan mengurangkan kesan ekonomi jika pandemik berlarutan, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, sistem kewangan negara mempunyai lebihan penampan modal atau ‘excess capital buffer’ berjumlah RM121 bilion, berbanding hanya RM39 bilion ketika Krisis Kewangan Global pada 2008.

“Ketika ini kesejahteraan dan kesihatan rakyat yang jadi keutamaan. Alhamdulillah, buat masa ini, kerajaan masih mempunyai ruang fiskal dan sumber dalaman yang mencukupi.

“Ingin saya tekankan, keutamaan sekarang adalah memulihkan situasi kesihatan. Lebih cepat kita dapat menangani COVID-19, lebih cepat kita dapat memulihkan dan membangunkan serta memajukan semula ekonomi negara,” katanya kepada BH semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keupayaan kewangan kerajaan jika kesan penularan virus berterusan dan di luar jangkaan.

COVID-19 yang bermula di Wuhan, China kini menjadi krisis kesihatan global. Negara ekonomi sedang membangun di Asia Timur dan Pasifik (EAP), termasuk Malaysia, yang baru pulih daripada kesan perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China pada tahun lalu, kini bergelut pula dengan impak ekonomi COVID-19.

Malaysia sebagai negara ekonomi terbuka, tidak terkecuali berdepan risiko kejutan kewangan dan kemelesetan global. Bank Negara Malaysia pada minggu lalu, menyemak semula unjuran kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kepada antara -2.0 peratus hingga 0.5 peratus pada tahun ini.

Jumaat lalu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menegaskan negara ekonomi baharu muncul yang memiliki defisit berkembar, iaitu defisit fiskal serta akaun semasa, kini berdepan masalah dan sudah mula memohon bantuan pinjaman kecemasan daripada badan kewangan dunia itu, antaranya Mesir, Lubnan, Jordan, Tunisia, Iraq dan Iran.

Malaysia, meskipun memiliki defisit fiskal tetapi memiliki lebihan akaun semasa yang mantap iaitu RM49.7 bilion pada 2019 atau 3.3 peratus berbanding KDNK, lebih tinggi berbanding RM30.6 bilion atau 2.1 peratus pada 2018. Dari segi monetari, rizab antarabangsa Bank Negara pula adalah RM424 bilion pada 2019 atau 7.5 bulan import tertangguh, lebih tinggi berbanding RM419.5 bilion atau 7.4 bulan pada 2018.

Bank Negara sebelum ini berkata, rizab itu kekal mencukupi untuk berdepan kejutan luaran dan tukaran asing, mengelak negara terjerumus ke dalam krisis kewangan seperti yang berlaku pada 1997/98.

Tengku Zafrul yang mempunyai pengalaman luas dalam sektor kewangan dan perbankan, mengakui keadaan dihadapi sekarang tidak pernah dialami sebelum ini, bukan saja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia. Katanya, dalam tempoh krisis semasa, semua ekonomi negara, termasuk negara maju menghadapi cabaran besar untuk menangani kesan negatifnya.

Oleh itu, suntikan rangsangan fiskal dan pengoptimuman ekosistem kewangan kerajaan amat penting untuk memastikan kapasiti ekonomi negara tidak terus terjejas dan pada masa sama, beban rakyat dan sektor perniagaan dapat dikurangkan, katanya.

Pada 27 Mac lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bernilai RM250 bilion yang memberi manfaat kepada semua lapisan rakyat. Ia merangkumi RM20 bilion yang diumumkan dalam pakej rangsangan ekonomi sebelumnya. Isnin lalu, kerajaan mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin PKS (PRIHATIN PKS) tambahan sebanyak RM10 bilion bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Tengku Zafrul menjelaskan, susulan pelaksanaan dua pakej berkenaan, defisit fiskal kerajaan kini dijangka meningkat kepada 4.7 peratus daripada KDNK.

“Defisit belanjawan negara sebelum ini diunjurkan lebih kurang 4.0 peratus berikutan pelaksanaan PRIHATIN. Selepas tambahan RM10 bilion untuk Pakej PRIHATIN PKS+, dijangkakan defisit belanjawan akan meningkat sedikit kepada 4.7 peratus. Namun begitu, defisit masih belum mencapai tahap (tinggi) seperti ketika Krisis Kewangan Dunia pada 2008/2009 iaitu 6.7 peratus,” katanya.

Mengulas sama ada langkah pengembangan fiskal akan memberi kesan kepada penilaian penarafan kredit negara, Tengku Zafrul menjelaskan, penilaian agensi penarafan tidak hanya terhad kepada situasi jangka pendek atau maklum balas fiskal saja. Malah, yang lebih penting, kerajaan perlu terus mengamalkan disiplin fiskal yang tinggi, katanya.

“Perancangan strategi dan langkah mengukuh fiskal jangka sederhana juga penting. Kerajaan akan memastikan langkah pengukuhan semula kewangan selepas ekonomi pulih,” katanya.

Sumber : BH ONline

Leave a Reply