Input your search keywords and press Enter.

PKP: Bengkel, Pusat Alat Ganti Kenderaan Dibenar Beroperasi

M Update, 14/4/2020 – Bengkel dan pusat alat ganti kenderaan adalah antara sektor tambahan yang dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), memaklumkan operasi penyelenggaraan dan perkhidmatan kenderaan dalam negara adalah termasuk dalam perkhidmatan selepas jualan. Perkhidmatan selepas jualan yang dibenarkan beroperasi juga termasuk kedai dan bengkel tayar yang membaik pulih serta menyelenggara tayar.

Bagaimanapun, waktu operasi bagi semua sektor tambahan itu adalah tertakluk kepada arahan dan pematuhan syarat Majlis Keselamatan Negara (MKN), kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Semua sektor tambahan yang dibenarkan beroperasi, adalah tertakluk kepada kelulusan kementerian itu, dengan permohonan perlu dibuat menerusi laman sesawang https://application.miti.gov.my, dan akan diproses dalam tempoh lima hari.

Mengulas lanjut, MITI turut memaklumkan bahawa pusat alat ganti dan pengedar kenderaan juga boleh menjual alat ganti selepas mendapat kelulusan daripada MITI. Turut dibenarkan beroperasi adalah pengeluar komponen automotif tempatan yang menjual dan menghantar komponen kepada kedai alat ganti tempatan.

Selain itu, syarikat automotif turut dibenarkan untuk meneruskan eksport kenderaan yang telah siap di pasang sebelum PKP mula dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu, manakala pengedar boleh mengedarkan kereta yang telah berdaftar, bergantung pada kelulusan MITI. MITI turut membenarkan operasi bagi kilang pemasangan kenderaan, khususnya unit separa siap untuk tujuan eksport.

Syarikat pengeluar tayar turut diberi kebenaran untuk menghantar produk mereka kepada pengendali perkhidmatan selepas jualan seperti bengkel kenderaan dan kedai tayar. Di samping itu, syarikat pengeluar tayar turut dibenarkan untuk membekal kepada syarikat pengeluar kenderaan, namun terhad kepada kenderaan untuk eksport sahaja.

Leave a Reply