Input your search keywords and press Enter.

Kelantan Benarkan Kedai Dobi, ‘Hardware’, & Bengkel Beroperasi

M Update, 30/4/2020 – Kelantan akhirnya memberi kebenaran untuk kedai dobi, bengkel kenderaan serta perniagaan barangan logam (hardware) beroperasi di negeri ini ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Keputusan itu menyusul kira-kira 20 hari selepas kebenaran untuk sektor tambahan berkenaan beroperasi diumumkan di peringkat Persekutuan. Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata perkara itu diputuskan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) peringkat negeri yang bersidang hari ini.

“Walaupun premis berkenaan sudah dibenarkan beroperasi di negeri lain sebelum ini, Kelantan ambil pendekatan tunggu dan lihat terlebih dahulu sebelum keputusan dicapai hari ini.

“Sehubungan itu, premis yang dibenarkan beroperasi itu perlu membuat permohonan selain mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk tempoh masa beroperasi.

“Setakat ini, ratusan pengusaha sektor terbabit sudah membuat permohonan dan keputusan mesyuarat hari ini akan dibawa kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebelum premis itu dibenar beroperasi dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau yang berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat MKN peringkat negeri yang dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, memaklumkan bagi perkhidmatan dobi, hanya kedai yang mempunyai pekerja dibenarkan beroperasi setakat ini.

“Untuk dobi layan diri, kita tidak benarkan lagi kerana mahu mengelak perkumpulan,” katanya.

Sumber : BH Online

Leave a Reply