Input your search keywords and press Enter.

Garis Panduan Aktiviti Keagamaan Di Masjid Dan Surau Telah Diteliti KKM – Dr Zulkifli

M Update, 8/5/2020 – Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah telah meneliti cadangan garis panduan bagi pelaksanaan aktiviti keagamaan dan surau untuk mencegah jangkitan COVID-19.

Perkara itu disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri melalui satu muat naik di laman Facebook miliknya, pada Jumaat.

Garis panduan itu kata Zulkifli akan dibentangkan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang akan berlangsung pada Jumaat.

“Soal bilakah masa yang sesuai untuk pelaksanaannya, kita berpandukan kepada nasihat dan saranan Kementerian Kesihatan selaku pihak yang berkepakaran.

“Akan tiba masanya satu hari nanti, semua rumah ibadah akan dibuka dan kita kembali mengimarahkannya dengan penuh kegembiraan dan keinsafan,” katanya dalam kenyataan Facebook itu.

Katanya, kertas cadangan mengenai prosedur operasi standard (SOP) kebenaran melaksanakan ibadat solat secara berjemaah termasuk solat tarawih dan Jumaat juga akan dibincangkan sekali lagi dalam mesyuarat itu.

Pada 4 Mei lalu, Zulkifli memaklumkan masjid dan surau mungkin akan dibuka semula dalam waktu terdekat, bergantung kepada nasihat KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau berkata, keputusan itu mungkin diperoleh jika pihak berkuasa berpuas hati dengan garis panduan yang dikemukakan, selain trend kerjasama rakyat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Astro AWANI dimaklumkan, segala keputusan yang dicapai dalam mesyuarat MKI itu akan dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja terlebih dahulu untuk mendapat perkenan. Keputusan itu akan dimaklumkan oleh Pihak Berkuasa Utama (Raja, Mufti, Jabatan Agama) di semua negeri di Malaysia. – Astro Awani

Leave a Reply