Input your search keywords and press Enter.

Hari Ini Atau Esok Penentu PKPB Dilanjutkan Atau Ditamatkan

M Update, 8/5/2020 – Kementerian Kesihatan (KKM) akan memantau perkembangan kes COVID-19 setakat hari ini atau 9 Mei ini, sebelum mengemukakan sebarang percaturan seterusnya bagi menangani wabak itu kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, menjelaskan penentuan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) wajar ditamatkan pada 12 Mei atau disambung bakal bergantung kepada beberapa faktor. Katanya, ia merangkumi kes harian COVID-19 yang dicatatkan dalam negara dan kadar kebolehjangkitan yang setakat ini merekodkan 1,584 kes.

“Jadi, kita akan terus pantau kes setiap hari, tetapi dalam 8 Mei (esok) atau 9 Mei ini, kalau kita boleh lihat satu pola, nasihat akan diberikan kepada Perdana Menteri untuk ambil tindakan sewajarnya,” katanya pada sidang media harian COVID-19, semalam.

Meneliti perkembangan semasa, Dr Noor Hisham menaruh keyakinan kes COVID-19 dapat dikurangkan dan dikawal sebaik mungkin dalam tempoh seminggu lagi, iaitu menjelang akhir fasa PKPB pada 12 Mei ini. Katanya, kes COVID-19 masih merekodkan kadar dua angka susulan kewujudan kluster baharu, khususnya membabitkan pekerja warga asing yang berkhidmat di sektor pembinaan dan aktiviti jualan di pasar borong.

“Kita pasti boleh kawal kes meskipun ia masih kekal pada kadar dua angka ketika ini yang disebabkan pertambahan klusteru baharu. Bagaimanapun kita sudah kenal pasti mereka yang berada dalam kluster ini dan saringan giat dijalankan bagi mengasingkan mereka dan diberikan rawatan susulan,” katanya.

Sumber : BH Online

Leave a Reply