Input your search keywords and press Enter.

PKPD Pasar Borong KL, PBU Ditamatkan

M Update, 12/5/2020 – Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) keenam iaitu di kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur dan Pusat Bandar Utara (PBU), ditamatkan hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah melakukan saringan Covid-19 ke atas semua penduduk di dua kawasan berkenaan.

“Bagi PKPD di Selayang Baru pula, kerajaan memutuskan untuk lanjutkan tempoh bagi KKM melakukan saringan. Mungkin dilanjutkan untuk mungkin dua atau tiga hari lagi sehingga saringan selesai dilakukan,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Pada masa sama, Ismail Sabri berkata, mesyuarat hari ini memutuskan fasa nasihat dan amaran sudah berakhir kepada mereka yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Beliau berkata, sehubungan itu Polis Diraja Malaysia (PDRM) diberi kuasa mengambil tindakan undang-undang di bawah PKPB.

“Mengikut Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), mereka yang melanggar PKPB boleh dikompaun RM1,000 dan jika dibawa ke mahkamah, hukuman maksimum RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-dua sekali.

“Jadi, saya nasihatkan orang ramai supaya patuhi PKPB kerana jika tidak, mereka akan berhadapan tindakan undang-undang sama ada akan terus dikompaun atau dibawa ke mahkamah,” katanya.

Sumber : HM Online

Leave a Reply