Input your search keywords and press Enter.

Jangan Bawa Golongan Berisiko Ke Tempat Awam – Adham Baba

M Update, 13/5/2020 – Tiga golongan yang berisiko tinggi dijangkiti COVID-19 iaitu kanak-kanak, warga emas dan mereka yang ada penyakit kronik.

Justeru, orang ramai diminta tidak membawa ahli keluarga mereka daripada golongan itu terutama anak-anak yang berusia kurang 12 tahun ke tempat awam seperti pasar raya atau pusat beli-belah. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata golongan berkenaan termasuk dalam kumpulan yang mudah dijangkiti wabak itu.

“Sebab itu kita masih menetapkan, kalau boleh ibu bapa tolonglah kalau tanpa keperluan, tak perlu bawa kanak-kanak keluar. Kalau keperluan nak ke klinik atau hospital untuk rawatan bolehlah.

“Kalau bersiar-siar jangan alpa. Tolong ya. COVID-19 tidak pernah kenal mangsa. Kecil, tua, muda, dewasa dan kanak-kanak terutama bawah umur mereka mudah dijangkiti virus ini,” katanya dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM), hari ini.

Beliau mengulas sikap masyarakat yang mulai mengambil ringan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan apabila kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Sejak PKPB dilaksanakan, orang ramai dilihat mengambil kesempatan keluar beramai-ramai dan bergerak bebas, termasuk membawa anak ke pusat beli-belah dan mengabaikan SOP ditetapkan.

“Rakyat sebagai orang yang kita (kerajaan) lindungi, perlu melindungi diri sendiri juga. Peranan rakyat sekarang kita anggap petugas barisan hadapan. Jangan lalai dalam melindungi diri dan ahli keluarga daripada wabak berkenaan,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, kadar penurunan kes jangkitan COVID-19 disamping jumlah kes discaj bertambah menunjukkan tahap keberkesanan rawatan dijalankan kementerian meningkat. Katanya, langkah kawalan bagi memutuskan rantaian jangkitan dengan mengasingkan pesakit positif, melaksanakan proses kuarantin terhadap mereka yang bergejala dan tidak mempunyai simptom, berkesan untuk mengurangkan kes jangkitan.

“Sebab itu kita mahu rakyat terus mematuhi SOP ditetapkan, melakukan penjarakan sosial dan mengamalkan kebersihan dengan mencuci tangan dengan air serta sabun atau cecair nyah kuman,” katanya.

Sumber : BH Online

Leave a Reply