Input your search keywords and press Enter.

JPV : Tak Perlu Takut Makan Ayam

M Update, 13/5/2020 – Orang ramai tidak perlu bimbang untuk memakan daging ayam, susulan penutupan sebuah kilang pemprosesan ayam selepas 60 pekerjanya positif COVID-19 di Pedas, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mendedahkan kilang pemprosesan ayam yang dikendalikan syarikat di Pedas itu antara 28 loji pemprosesan komersial di bawah kawal selia JPV.

Jaminan oleh JPV itu sejajar laporan dikeluarkan Pertubuhan Kesatuan Sedunia (WHO) bahawa tidak ada bukti kukuh bahawa COVID-19 boleh menjangkiti sama ada melalui makanan dan pembungkusan makanan.

“Laporan yang dikeluarkan oleh WHO bertarikh 7 April 2020 menyebut tidak mungkin orang mempunyai kontak COVID-19 daripada makanan atau pembungkusan makanan. Tidak ada bukti sehingga kini virus yang menyebabkan penyakit pernafasan disebarkan melalui makanan atan bungkusan makanan. Coronavirus tidak dapat membiak dalam makanan.

“Selain itu, artikel daripada University of Georgia (Amerika Syarikat) bertarikh 23 Mac 2020 juga menyatakan penting untuk menekankan bahawa virus COVID-19 (SARS-CoV-2) tidak ada kaitan dengan produk unggas atau unggas,” menurut JPV.

Menurut laporan itu, ayam yang diproses di loji itu dihantar untuk dijual di pasaran domestik menerusi 12 jenama pasar raya besar dan restoran makanan segera bertaraf antarabangsa serta tempatan.

Berikutan penutupan loji pemprosesan itu, JPV memberi jaminan bahawa ia tidak menjejaskan bekalan ayam segar kerana syarikat itu hanya menyumbang peratus kecil daripada jumlah keseluruhan bekalan ayam untuk pasaran tempatan.

“Loji pemprosesan ayam itu mempunyai kapasiti maksimum pemprosesan ayam sehingga 90,000 ekor sehari. Sumber ayam hidup pula diperolehi daripada 79 ladang ayam kontrak di bawah kawal selia syarikat dan 23 ladang ayam persendirian.

“Loji pemprosesan ayam berkenaan membekalkan sebanyak (purata) 54,000 ekor ayam segar sehari, manakala jumlah keseluruhan bekalan ayam segar semasa negara sebanyak (purata) 1.6 juta ekor sehari.

“Penutupan loji pemprosesan ayam di Pedas tidak menjejaskan bekalan ayam segar kerana ia hanya menyumbang tiga peratus daripada jumlah keseluruhan bekalan ayam untuk pasaran dalam negara,” menurut laporan itu.

Pada 2 Mei lalu, JPV mengesahkan Kementerian Kesihatan mengenal pasti loji berkenaan sebagai kluster baharu COVID-19. Berdasarkan laporan itu, menurut JPV, ia mula dikesan apabila seorang kakitangan syarikat mengalami gejala seperti demam, batuk, selesema, sesak nafas dan sakit kepala pada 5 April lalu. Kemudian, pekerja terbabit dibawa menjalani saringan ujian COVID-19 pada 10 April lalu dan keputusannya positif pada 12 April lalu.

Sehingga 8 Mei 2020, seramai 786 orang kakitangan dan ahli keluarga menjalani ujian COVID-19. Daripada jumlah itu, 60 orang didapati positif COVID-19, 286 negatif dan 440 orang masih menunggu keputusan. Pekerja yang disahkan positif sudah dikuarantin. Ini membabitkan warga Malaysia (tujuh orang), Nepal (25), Bangladesh (18), Indonesia (lapan) dan Myanmar (dua),” katanya. – BH Online

Leave a Reply