Input your search keywords and press Enter.

Batal Hasrat Ziarah Aidilfitri Jika Gagal Patuhi SOP

M Update, 14/5/2020 – Orang ramai perlu membatalkan hasrat menziarahi ahli keluarga, terutama ibu bapa, pada sambutan Aidilfitri tahun ini jika gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ini kerana sangat perlu bagi semua pihak mementingkan penjarakan sosial, khususnya ketika amalan ziarah sepanjang tempoh perayaan itu.

“Pernah dibincangkan mengenai angka 20 (jumlah maksimum perhimpunan). Ia relatif dan yang penting ialah pematuhan SOP. Kalau 20 orang di kawasan atau apartmen kecil, memang tidak ada penjarakan sosial pun.

“Yang penting, penjarakan sosial sekurang-kurang satu meter, kerap mencuci tangan dan memakai topeng muka terutama individu yang ada demam atau selesema, selain mengelakkan perhimpunan.

“Kita risau mereka yang kembali, contohnya dari luar serta kebarangkalian membawa penyakit, dari Zon Merah pulang ke kampung dan ibu bapa sudah berusia. Sepatutnya mereka (ibu bapa) dilindungi,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, KKM juga menasihati orang ramai supaya mematuhi 3C, iaitu mengelakkan kawasan sesak dan sempit serta bertutur pada jarak dekat.

“Orang ramai juga perlu mengamalkan 3W, iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun; digalakkan memakai topeng muka di tempat awam atau jika bergejala; serta memberi amaran berkonsep peringatan. Amaran berkonsep peringatan ialah mengelak daripada bersalam atau bersentuhan; mengamalkan etika batuk dan bersin; melakukan disinfeksi; duduk di rumah; serta mendapatkan rawatan jika bergejala,” katanya.

Sumber : BH Online

Leave a Reply